fbpx

Lebih 3,000 pelajar baharu daftar di UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Md. Amin (kanan) dan Dr. Norkhalid bertemu pelajar baharu yang sedang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Muallim semalam.

MUALLIM – Lebih 3,000 calon yang berjaya ditawarkan memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini semalam.

Pelajar yang terdiri daripada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma serta matrikulasi tersebut menginap di Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki serta Blok Antarabangsa.

Pada program itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menyantuni pelajar baharu sesi Oktober 2022 dan turut memberi kata-kata semangat kepada mereka agar menjadi pelajar UPSI yang aktif serta dapat mengharumkan nama universiti.

“Saya terharu dengan kesungguhan ibu bapa dan berharap anda tidak menghampakan harapan mereka,” kata beliau.

Dr. Md. Amin berkata, di UPSI pelajar bukan hanya diterapkan dengan ilmu akademik, malah ilmu kehidupan yang ditunjangi dengan adab dan akhlak.

“Jangan sesekali mensia-siakan segala pengorbanan keluarga kerana terdapat ibu bapa yang berkorban menangguhkan hajat mereka mengerjakan haji kerana terpaksa mengeluarkan simpanan Tabung Haji demi mendaftarkan anak ke UPSI.

“Terdapat juga ibu bapa yang meminjam daripada sanak-saudara, ada yang berjimat belanja, serta ramai yang mendapatkan bantuan daripada pelbagai sumber agar anak-anak dapat mendaftar untuk belajar.

“Namun, semua ini tidak pernah diberitahu kepada anda, maka hargailah pengorbanan insan istimewa ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendoakan mereka apabila berjauhan dari mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang turut mengiringi Naib Canselor pula berharap pelajar baharu memelihara akhlak walaupun memburu pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang pengajian.

“Manfaatkanlah segala kemudahan yang disediakan untuk keselesaan semua pelajar di kedua-dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Kampus Sultan Azlan Shah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI