SELEPAS membungkus kira-kira 30 biji kuih bakul tradisional buatannya ke dalam bekas kedap udara, Nur Farrah Diba Azhar, 32, terus memandu ke pusat kurier berdekatan untuk mengepos kuih-kuih tersebut.
Biarpun sibuk menguruskan bisnes kuih bakul yang memerlukan dirinya memberikan tumpuan hampir sepanjang hari untuk disiapkan kuihnya, Nur Farrah Diba mendapat kepuasan daripadanya.
“Beginilah rutin harian saya selepas memilih untuk menjual kuih bakul ini sepanjang tahun,” ujarnya ketika dihubungi K2.
Wanita yang lebih mesra disapa Farrah itu berkata, keputusannya untuk berhenti kerja di sebuah pejabat kerajaan negeri Pulau Pinang untuk berniaga sepenuh masa tidak pernah langsung disesalinya kerana minat yang mendalam terhadap perniagaan berasaskan makanan, khususnya kuih bakul yang diusahakannya kini.
Jelas Farrah, idea untuk mula menjual kuih bakul itu timbul kerana dia sendiri amat menyukai kuih nyok atau kuih kelapa yang disajikan terutamanya pada musim Tahun Baharu Cina.
“Namun, pada 2016, lantaran saya tidak dapat makan kuih tersebut kerana datuk saya yang berketurunan Cina telah membawa kesemua kuih bakul yang ada untuk tujuan ibadat di tokong, saya telah mempelajari pembuatan kuih ini daripada jiran.
“Kebetulan, jiran sebelah rumah saya yang juga merupakan seorang wanita Cina sudi mengajar saya cara-cara membuat kuih bakul, yang seterusnya membuatkan saya mahu mengusahakan kuih istimewa ini sebagai perniagaan sepenuh masa,” ujar anak kepada seorang wanita mualaf itu.

Farrah mula berniaga kuih bakul dan kuih bulan sejak tahun 2018.
Kuih bakul atau nian gao merupakan kuih tradisional masyarakat Tionghua yang hanya dibuat secara bermusim iaitu ketika Tahun Baharu Cina.
Memiliki rasa lemak manis dengan tekstur yang kenyal, kuih tersebut bagaimanapun agak sukar untuk dicari, lebih-lebih lagi kuih bakul yang halal.
Malah, Farrah turut berkongsi bahawa proses pembuatan kuih tersebut juga agak rumit, menyebabkan tidak ramai yang sanggup atau cukup sabar untuk membuatnya.
“Kuih bakul ini cukup banyak pantang-larangnya dan sekiranya tersilap langkah atau terlanggar pantang larang tersebut, maka kuih itu tidak akan menjadi.
“Adakalanya, apabila tersilap teknik mengukusnya, kuih ini boleh ‘hilang’ begitu saja dari dalam periuk pengukus, dan hanya keraknya yang tinggal,” kongsi ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Sebelum membuat kuih bakul, Farrah terlebih dahulu menyediakan kepingan daun pokok pisang yang kemudiannya dibalut pada tin pengukus.
Selesai membalutnya, dia akan membuat bancuhan kuih bakul yang terdiri daripada tepung pulut, gula pasir, gula merah, santan dan juga air.

Adunan yang sebati kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tin pengukus yang sudah dialas dengan daun pisang sebelum dikukus dalam tempoh panjang iaitu selama 18 jam.
“Selesai dikukus, saya akan mengeringkannya terlebih dahulu dan selepas lima hari, barulah ia akan dikeluarkan daripada tin tersebut.
“Begitupun, ia bergantung kepada tekstur kuih tersebut kerana sekiranya ia sudah kering dan teksturnya sudah elok dalam tempoh tiga hari, maka saya akan terus mengeluarkannya daripada tin tersebut,” katanya.
Tempoh masa mengukus yang panjang juga memerlukan Farrah untuk menjualnya melalui kaedah tempahan.
Mengakui ada kuih bakul moden yang dikukus dalam tempoh lebih singkat, Farrah bagaimanapun berkata, teknik penghasilan kuih bakulnya benar-benar mengikut teknik tradisional yang memang dibuat oleh orang Cina lama.
“Teknik pengukusan yang lama itu menjadikan tekstur kuih ini lebih cantik dan lebih bermutu,” katanya.
Mengulas lanjut, Farrah berkata dia memilih untuk menjual kuih bakul itu secara tidak bermusim kerana mahu orang ramai boleh membeli dan menikmatinya bila-bila masa sahaja.
“Keputusan untuk menjual kuih ini tidak mengikut musim timbul sejak beberapa bulan lalu dan syukur, setiap hari, ada saja tempahan masuk dan saya akan mengepos lebih 15 bungkusan kuih bakul ini kepada pelanggan,” ujarnya.
Anak kelahiran Bukit Mertajam itu menjual kuih bakul tersebut di kedainya iaitu Farrah Diba Bakeri di Bandar Perda, secara online menerusi instagram @farrahdibabakeri_hq dan juga akaun TikTok miliknya iaitu @farrahdibakuihbakul.
Sebiji kuih bakul dijual pada harga RM15 dengan setiap satu bekas mengandungi dua biji kuih bakul yang tahan disimpan selama setahun.

Jelas Farrah, dia menggunakan medium TikTok bagi mempromosikan kuih bakulnya yang menurutnya adalah medium yang cukup berkesan untuk menarik pelanggan.
Selain mempromosikan kuih-kuihnya, Farrah juga kerap berkongsi proses pembuatan kuih itu kepada pengikutnya yang rata-ratanya memuji wanita itu kerana menjual kuih tersebut secara tidak bermusim.
“Ramai pengikut yang mengakui amat sukakan kuih bakul ini, namun sukar mencarinya memandangkan ia tidak banyak dijual.
“Malah, ada juga antara pengikut yang berkongsi cara mereka memakan kuih ini sama ada dimakan begitu saja, digoreng bersama tepung atau pun dimakan dengan kelapa parut,” ujarnya.
Mengakui berdepan cabaran meyakinkan suami dan ahli keluarga lain untuk berhenti kerja bagi membuat perniagaan kuih bakul secara sepenuh masa, Farrah bagaimanapun kini bersyukur apabila rezekinya mencurah-curah dan banyak menerima tempahan kuih bakul selain kuih bulan halal.
“Keputusan menjual kuih bakul ini membuatkan saya nekad berhenti kerja dalam tempoh 24 jam.
“Biarpun pada mulanya keputusan itu ditentang memandangkan saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil, namun saya gembira dengan keputusan ini dan tidak pernah terfikir untuk kembali bekerja di pejabat,” ujarnya.
















