fbpx

‘Sampah terbang’ penuhi longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di Lorong Baba dipenuhi sampah yang dicampak sebahagian penghuni rumah sewa di bangunan kedai.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebahagian penghuni rumah sewa terutama warga asing di bangunan kedai di sekitar ibu negara yang masih berdegil membuang sampah dari tingkat atas rumah menjadi punca longkang tersumbat sehingga berlakunya banjir kilat.

Walaupun Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) melakukan kerja-kerja pembersihan sampah di kawasan tersebut sebanyak enam kali seminggu, namun sikap degil penduduk terbabit menyebabkan masalah itu bagaikan tiada penyudah.

Pembuangan sampah juga menimbulkan bau tidak senang terutama kepada peniaga dan pelanggan di kawasan terbabit.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lorong di belakang kedai seperti di Lorong Haji Taib 1, Lorong Baba dan Jalan Brunei di sini baru-baru mendapati, masalah ‘sampah terbang’ masih berlaku meskipun kerja pembersihan dijalankan enam kali seminggu.

Pekerja di Bahagian Unit Khas Alam Flora, Raznan Mohd. Rasid, 50, berkata, kebanyakan penghuni di kawasan tersebut adalah warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan dan rata-rata mereka tidak endah dengan teguran pihak berkuasa.

“Kalau kita bersih waktu pagi, dalam tengah hari sudah penuh semula sampah-sampah di lorong, semuanya dibuang dari atas melalui tingkap dan masalah ini berlaku hampir 25 tahun.

“Bukan sahaja sampah kering, sisa makanan dan pelbagai objek juga dibuang begitu sahaja sehingga memenuhi longkang dan laluan di belakang kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Keadaan longkang yang dipenuhi sampah seperti botol dan plastik yang berisiko tinggi menyebabkan berlaku banjir kilat di Lorong Baba.

Menurut Raznan, tahap kesedaran sebahagian besar penghuni di kawasan itu masih rendah kerana menjadikan tabiat buruk itu sebagai satu kebiasaan.

“Kami sebagai pekerja pembersihan perlu sentiasa berjaga-jaga semasa bertugas kerana bimbang terkena sampah yang dicampak dari atas dan risau terkena objek tajam yang membahayakan.

“Sebagai cabaran ketika bertugas, ada kalanya terkena air kencing penghuni yang dicampak dari dalam plastik, mereka ini kebanyakan memang pengotor dan degil,” ujarnya.

Seorang pengusaha kedai makan, Low Choong Sun, 56, pula mengharapkan agar pihak berkuasa memperdalamkan sungai-sungai di sekitar Lembah Klang bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat.

Katanya, ramalan banjir besar yang dijangka berlaku bermula pertengahan November ini memberi kerisauan kepada peniaga di sekitar Lorong Brunei apabila mengenangkan kerugiaan yang bakal ditanggung seperti mana yang pernah berlaku pada tahun lepas.

“Kami risau melihat banyak sampah di dalam longkang. Sampah-sampah ini dibawa air hujan masuk ke dalam longkang sehingga tersumbat.

“Jika hujan lebat, air mudah melimpah dan naik sampai masuk dalam kedai,” katanya.

Petugas Alam Flora membersihkan sampah yang dibuang di Lorong Baba, Kuala Lumpur baru-baru ini. – AMIR KHALID

Tambahnya, sepanjang lima tahun kedai makannya beroperasi, sebanyak empat kali banjir kilat teruk berlaku dengan kenaikan air melebihi paras lutut.

“Boleh dikatakan satu tahun, dua kali naik air, ada yang naik memang teruk, ada yang paras buku lali sahaja.

“Kami mengalami kerugian beribu-ribu ringgit sebab terpaksa tutup kedai, kena bersihkan semua barang yang rosak dan kena ganti baharu atau hantar baiki,” ujarnya.

Jelas peniaga itu lagi, masalah sampah yang dibuang merata-rata ini turut memberi kesan kepada perniagaannya apabila bau yang tidak senang mengganggu ketenteraman pelanggan di kedai makan.

Petugas Alam Flora melakukan kerja pembersihan sebanyak enam kali seminggu di Lorong Baba.

Turut menghadapi situasi sama, peniaga pakaian dan cenderamata, Bell Leong, 37, yang telah mengambil langkah berjaga-jaga ketika ini dengan mengehadkan perabot dan barangan di dalam kedainya agar mudah untuk dialihkan sekiranya berlaku bencana.

“Sekarang saya tak letak banyak barang dalam kedai. Kami dah siap susun atas supaya mudah mengemas kalau banjir kilat. Biasanya terjadi selepas hujan lebat berpanjangan.

“Tahun ini juga sudah tiga kali air naik pada bulan Mac dan April lalu, sampai pintu kedai pecah sebab tekanan air,” katanya.

Sehubungan itu, rata-rata peniaga di kawasan tersebut berharap sekurang-kurangnya kerja pembersihan dilakukan sebanyak dua kali sehari.

Selain itu, pemantauan terhadap kegiatan pembuangan sampah yang lebih kerap di kawasan hotspot banjir perlu kerap dilakukan supaya tindakan dapat diambil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI