fbpx

Luahan Pembaca: Dividen tinggi lebih baik berbanding naikkan had maksimum pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KADAR maksimum pelaburan dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,00 sebelum ini dalam Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu memberi fokus penuh dengan memastikan kadar pemberian dividen bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan semua unit amanah meningkat bukannya menumpukan usaha menaikkan had maksimum pelaburan seperti diumumkan dalam Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan had pelaburan dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 ketika ini untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera.

Bank Simpanan Nasional akan menyediakan dana pinjaman mudah untuk membantu B40 Bumiputera melabur dalam ASB pada kadar 1.5 peratus.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia mampu untuk melabur dalam jumlah yang besar?

Penularan virus Covid-19 menjejaskan pendapatan ramai khususnya B40. Jadi apa gunanya kita menaikkan had pelaburan maksimum ASB dan ASB2 jika orang ramai tidak mampu. Adakah kita mahu orang ramai meminjam wang untuk melabur? Adakah dasar meminjam ini bijak dan sesuai?

Kita tidak tahu keadaan ekonomi pada masa akan datang. Jika keadaan ekonomi bertambah buruk, bagaimana hendak membayar semula pinjaman serta kadar faedah yang dikenakan.

Persoalan paling penting, apa gunanya jika had maksimum dinaikkan jika dividen kecil?

Oleh itu, daripada menaikkan had maksimum pelaburan adalah lebih baik sekiranya kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan kadar pemberian dividen tinggi. Kadar dividen setiap tahun dilihat makin menurun.

Usaha harus dipertingkatkan bagi menaikkan semula kadar pemberian kadar dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah.

Kerajaan boleh duduk berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengenai langkah yang diambil bagi memastikan kadar dividen pada tahun-tahun yang akan datang tinggi dan memuaskan. Paling penting tidak menurun.

Umum tahu mengenai masalah perkembangan ekonomi global yang sedang bergerak perlahan ketika ini akibat masalah inflasi.

Oleh itu, agak sukar untuk pihak berkaitan memastikan pulangan dividen untuk semua unit amanah tinggi serta memuaskan hati semua pelabur. Namun, rakyat Malaysia tetap yakin dengan tahap kemampuan kerajaan serta pengurus unit pelaburan untuk memastikan pulangan dividen yang diberikan adalah tinggi dan memuaskan walaupun keadaan ekonomi semasa pada ketika ini tidak menggalakkan dan penuh mencabar.

Dr. Muzaffar Syah Mallow
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI