MELAKA – Sebanyak 20 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat yang melanda daerah ini susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 5 pagi tadi.
Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka Tengah, Kapt (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, kawasan penempatan yang terjejas adalah di Kampung Tengah, Pulau Gadong.
Katanya, bagaimanapun setakat pukul 12 tengah hari tadi tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
“Susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi, JPBD Melaka Tengah telah membuat pemantauan di lokasi-lokasi berpotensi banjir dan mendapatkan maklumat daripada penduduk serta penghulu kampung.
“Setakat ini sebanyak 20 buah rumah di Pulau Gadong dilaporkan terjejas dengan dinaiki banjir setinggi 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil pemantauan pada pukul 10 pagi mendapati keadaan paras air meningkat disebabkan situasi air laut pasang besar.
“Kini air banjir di kawasan terjejas mulai surut. Pemantauan akan diteruskan oleh semua agensi terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














