fbpx

Lelaki ditahan ugut wanita enggan jadi kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang lelaki ditahan polis selepas mengugut seorang wanita dengan pelbagai ugutan jenayah selepas mangsa enggan menjadi teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang pada 1 Oktober lalu, lelaki terbabit telah datang ke rumah mangsa di Taman Ukay Perdana, Ampang dan memaksa wanita itu untuk keluar bertemu dengannya.

“Suspek turut mengugut mahu menumbuk wajah mangsa apabila wanita berusia 28 tahun itu enggan keluar dari rumah untuk berjumpa dengannya.

“Selain itu, suspek turut mengugut akan menarik atau merosakkan kereta mangsa sekiranya terjumpa wanita itu di mana-mana tempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pengadu memaklumkan telah berkenalan dengan suspek sejak 10 bulan lalu dan lelaki itu dikatakan sering mengawalnya dengan tidak membenarkannya berkawan ataupun rapat dengan lelaki lain.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya berjaya menahan suspek di Bangsar Baru di sini, pada pukul 9 malam tadi serta merampas telefon bimbit miliknya.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah serta direman dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI