fbpx

Wanita menyamar penganjur konsert ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Padah menyamar sebagai penganjur sebuah konsert, seorang wanita warga tempatan ditahan di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan telah dibuat ke atas suspek berusia 48 tahun oleh sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Kami menerima laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga seorang artis pada 25 Oktober lalu sekitar pukul 10.40 malam.

“Pengadu berkenaan dikatakan mendapat makluman daripada rakannya yang melihat satu hantaran di platform media sosial Facebook yang telah mempromosikan sebuah konsert,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, konsert berkenaan dijangka berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari tahun hadapan, manakala tiket dijual berharga antara RM199 sehingga RM649.

“Pengadu memberitahu tiada sebarang tawaran diterima mahupun menandatangani kontrak untuk menyertai konsert tersebut.

“Hasil semakan pihak polis mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau di mana salah satunya adalah melibatkan kes penipuan,” katanya.

Jelasnya, suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Pihak polis memohon orang ramai yang telah membuat pembelian tiket konsert agar tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Mereka boleh berhubung dengan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya di talian 03-42952222 untuk sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI