fbpx
AHLI komuniti bersiap sedia dengan set slingshot masing-masing sambil menunggu kelibat ikan di dasar sungai.

Teknik lastik ikan jadi fenomena kaki pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh DZUL ASYRAF

MELASTIK ikan atau slingshot fishing mungkin kedengaran asing, namun teknik ini semakin mendapat tempat dalam kalangan kaki pancing yang sentiasa inginkan cabaran baharu.

Mula diperkenalkan pada 2016 di China, pengaruh teknik ini terus tersebar ke seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Beberapa minggu lalu, penulis menerima pelawaan daripada YouTuber dunia memancing cukup dikenali, Mohamad Rizal Mohamad Ali atau lebih dikenali sebagai Rizal Joran untuk menyertai aktiviti melastik ikan bersama Komuniti Slingshot Fishing Malaysia.

Dia salah seorang perintis dalam penghasilan video berkaitan sukan memancing di saluran YouTube.

Memandangkan tempat yang dicadangkan berhampiran dengan rumah, penulis terus bersetuju, di samping teruja untuk melihat dengan lebih dekat teknik tersebut.

Ketibaan penulis disambut mesra oleh Rizal dan ahli-ahli Slingshot Fishing Malaysia terdiri daripada Azahar Khalid, Abiang Mohsen, Alan Soo dan beberapa ‘otai’ dalam komuniti itu.

Menurut Azahar, kumpulan itu pada mulanya merupakan komuniti lebih tertumpu kepada memburu binatang seperti burung dan lain-lain, namun atas beberapa faktor, sebahagian ahlinya beralih kepada melastik ikan.

Pada 2018, komuniti itu ditubuhkan.

“Setakat hari ini, sejumlah keseluruhan ahlinya seramai 5,000 orang,” katanya.


SEBAHAGIAN ahli Komuniti Slingshot Fishing Malaysia yang menyertai aktiviti melastik bersama hasil tangkapan masing-masing.

Selain sungai-sungai sekitar Petaling Jaya, antara sungai lain yang menjadi spot untuk ahli-ahli komuniti berkumpul adalah Sungai Gombak, Sungai Klang, dan beberapa batang sungai sekitar Lembah Klang.

Spesies yang selalu menjadi sasaran untuk dibidik selalunya dari jenis invasif termasuk tilapia hibrid, lampam jawa, keli Afrika dan lain-lain.

Ia antara lain bertujuan untuk mengurangkan populasi ikan invasif tersebut yang semakin banyak di perairan Malaysia yang mengancam ekosistem ikan dan haiwan akuatik tempatan.

Menurut Alan Soo, untuk teknik slingshot ini, antara peralatan asas diperlukan ialah cabang lastik (frame), kekili spincast, pelindung tangan, damak (dart) dan cermin mata hitam polarize untuk membolehkan melihat dengan jelas kedudukan ikan dalam air.

Tali utama jenis benang (braided) berkekuatan 20lb – 40lb menjadi pilihan untuk diisi ke dalam kekili, bergantung kepada jenis dan saiz ikan yang diburu.

Menurutnya, penggunaan tali tangsi kurang sesuai dengan teknik ini atas faktor keselamatan.

AZAHAR ceria menunjukkan ikan tilapia yang berjaya dinaikkan.

Selain itu, harga yang mampu milik untuk set penuh peralatan berbanding set pancing konvensional juga merupakan tarikan mencuba teknik ini.

Antara rekod ikan bersaiz besar yang pernah dinaikkan dengan teknik ini adalah ikan keli afrika seberat 19.23 kilogram (kg) yang ditangkap di Sungai Klang.

Usai berbual dan sedikit taklimat, tepat pukul 9 pagi, pasukan itu bergerak menyusuri di sepanjang tebing Sungai Penchala.

Kelihatan berpuluh-puluh sarang ikan tilapia yang berbentuk kawah di dasar sunga dijaga induk bersaiz besar.

Sifat territorial (menjaga kawasan) ikan tilapia, memudahkan lagi pelastik untuk membidik damak tepat ke sasaran.

Belum sampai seminit memulakan aktiviti, ikan pertama berjaya dibidik Abiang Mohsen.

Sedang penulis ralit merakam gambar gelagat ahli-ahli komuniti melastik, Rizal menghampiri penulis dan memberitahu, kelebihan guna teknik melastik ini, saiz ikan boleh dipilih.

Menjelang pukul 10 pagi, hampir 30 ekor tilapia pelbagai saiz berjaya dinaikkan oleh ahli komuniti, manakala Rizal sahaja berjaya mendapat lapan ekor ikan bersaiz besar.


RIZAL menunjukkan ikan bersaiz besar yang berjaya dibidik menggunakan kaedah melastik ke sarang induk tilapia.

Penulis turut cuba mempraktikkan teknik ini, namun bidikan kerap kali tersasar, mungkin selepas ini penulis akan membeli set slingshot sendiri untuk mendapat lebih feel ketika melastik.

“Kami memutuskan untuk berhenti ketika jarum jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN