DALAM kehidupan ini, tiada siapa yang boleh terlepas daripada menerima ujian, sama ada kecil atau besar daripada Yang Maha Kuasa.
Taufiq (bukan nama sebenar) turut tidak terlepas daripada diuji apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
Katanya, disebabkan kemalangan itu, dia lumpuh dari paras pinggang hingga bahagian kaki.
Sejak itu, katanya, dia tidak dapat bergerak seperti manusia normal lain serta tidak dapat bekerja untuk mencari nafkah buat keluarganya.
Sebelum terlibat kemalangan, dia bekerja sebagai pemandu lori dan telah mendirikan rumah tangga dengan isteri tercinta dikenali sebagai Asma lebih 10 tahun.
Ceritanya, sebelum tragedi yang menimpa dirinya itu, kehidupan mereka sekeluarga cukup bahagia sekali dengan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Namun sejak dia lumpuh, terdetik di hati kecil Taufiq dirinya sebagai seorang suami dan ayah yang tidak berguna.
Ini kerana, kegagalannya memberi nafkah baik zahir dan batin kepada isteri dan keluarga.
“Bagaikan ada bisikan di hati yang mengatakan saya sebegitu dan realitinya adalah benar.
“Saya tidak mempunyai upaya untuk mencari nafkah buat keluarga dan tanggungjawab itu dipikul sepenuhnya oleh isteri saya,” ujarnya.
Kebetulan isterinya seorang penjawat awam, walaupun bergred rendah, sekurang-kurangnya dia mempunyai pendapatan tetap.
Disebabkan itu, Taufiq mengalami kemurungan.
Biarpun Taufiq gagal membahagiakan keluarga termasuk nafkah batin kepada isterinya, namun Asma mengatakan dia tidak kisah dengan semua itu dan berjanji untuk menjaganya hingga akhir usianya.
“Pada mulanya, isteri saya rajin menguruskan saya walaupun tahu dia seorang yang sibuk.

HUBUNGAN suami isteri antara Taufiq dan Asma akhirnya terlerai, kerana lelaki itu tidak mahu isterinya terus hidup dalam kepura-puraan.-GAMBAR HIASAN
“Namun lama-kelamaan, Asma merungut kerana terpaksa menguruskan saya. Saya boleh rasakan, dia menguruskan saya kerana terpaksa dan bukannya ikhlas berbuat demikian,” bicaranya.
Sejak itu, Taufiq berasakan rumah tangga mereka berdua semakin suram dan isterinya sering tidak lekat di rumah.
Kadangkala isterinya pulang lewat ke rumah dan ada ketikanya keluar malam.
Apabila ditanya, Asma memberitahu, dia keluar dengan rakan-rakan untuk mencari ketenangan jiwa.
Namun Naluri Taufiq dapat menghidu isterinya itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain di luar sana kerana lama tidak mendapat belaian suami.
“Sangkaan saya betul apabila ada rakan memberitahu, pernah melihat isteri saya keluar dengan lelaki lain dan mereka amat mesra sekali.
“Sebagai seorang suami, hati siapa yang tidak sakit diperlakukan sedemikian rupa, tambahan dalam keadaan diri yang serba kekurangan,” katanya sedih.
Tambahnya, bagi menjaga keharmonian rumah tangga, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri pada ketika itu.
Apa yang membuatkan Taufiq berasa amat tercabar, apabila mendengar perbualan telefon Asma dengan kakaknya secara tidak sengaja.
“Dalam perbualan itu, Asma meluahkan perasaan dengan mengatakan, rasa terbeban untuk menjaga saya.
“Dia turut memberitahu kakaknya, tidak sanggup untuk meminta dilepaskan kerana tidak sampai hati dengan keadaan saya.
“Kata-kata itu membuatkan saya mengalirkan air mata dan berasakan tidak ada gunanya lagi saya menjadi suaminya,” ujarnya.
Akhirnya, Taufiq mengambil keputusan untuk berbincang dengan Asma dan menyatakan, dia sanggup melepaskan isterinya itu dengan baik jika itu yang dimahukannya.
Isterinya diam dan tidak berkata apa-apa dan mereka kemudian mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
Taufiq akhirnya sah menceraikan isterinya dengan talak satu di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri Pantai Timur.
Setelah berpisah, Taufiq mengambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal dengan kedua-dua orang tuanya.














