KERINDUAN peminat drama tanah air terhadap Zamarul Hisham kini terubat selepas muncul dengan drama Aku Tanpa Cintamu yang sedang hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3.
Kredibiliti dan bakat seninya tidak perlu lagi diperhebahkan kepada umum. Berilah apa sahaja karakter, pasti akan dilunaskannya dengan cemerlang.
Pada usia yang sudah mencecah 51 tahun, dia masih diberikan kepercayaan menggalas watak hero drama dan hasilnya bukan hanya pujian tetapi kecaman turut diraih.
Begitulah penangan apabila pelakon bertaraf senior turun padang mewarnai industri seni tanah air.

sebagai anak seni.
Hero
Masih dipandang relevan, pemilik nama penuh Zamarul Hisham Mohamed sentiasa bersyukur kerana bakatnya terus diterima ramai.
“Bukan mudah untuk berada di posisi sekarang, sudah lebih dua dekad saya bergelumang dalam dunia lakonan yang banyak pancaroba ini.
“Apabila masih diberi kepercayaan untuk memegang watak hero pada usia sekarang, saya sangat bersyukur,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Hero yang popular menerusi filem Blok 404 itu juga akan sentiasa memberikan yang terbaik dan sepenuh kudrat selagi kerja seninya menjadi dambaan ramai.
“Selagi saya bernafas atau selagi orang merindui saya, insya-Allah akan terus berada di sini,
“Apabila diberi peluang daripada Allah SWT, ini satu tanggungjawab besar terutama diberi peranan sebagai hero.
“Sejak dahulu, saya pegang benda ini sebagai satu cabaran walaupun sudah bertahun-tahun berkelana sebagai pelakon. Bagi saya, umur hanya nombor,” katanya lagi.

Kongsi tips
Pada usia emas, Zamarul mengakui agak selektif dalam menerima sebarang tawaran watak.
Bukan kerana ingin menjadi artis cerewet tapi untuk memastikan dapat menyampaikan dengan baik seperti yang diharapkan ramai.
“Setakat sekarang, memang agak selektif dalam pemilihan watak sebab saya mahu berikan yang terbaik.
“Biarlah watak yang saya lakonkan itu sesuai dengan umur sekarang,” ujarnya lagi.
Sentiasa merendah diri. Frasa tersebut terungkap dari bibir lelaki asal Kuala Lumpur ketika diminta memberi pandangan mengenai lambakan pelakon baharu kini.
Melihat situasi tersebut sebagai senario yang bagus, dia berharap lambakan tersebut membawa variasi untuk industri.
“Tidak tahulah layak atau tidak untuk kongsi tips,” katanya sambil tergelak kecil.
Tegas Zamarul, setiap individu yang ingin menjadi anak seni perlu mempunyai kesungguhan dan minat mendalam.
“Setiap pelakon muda, perlu ada rasa tanggungjawab. Kesungguhan dan kerajinan sangat penting.
“Itu yang saya masih pegang sehingga hari ini tambahan pula saya bukan orang yang bekerja sambil lewa.
“Bila dapat skrip, saya akan cuba jadikan skrip itu lebih baik. Jika ada idea lontarkan, jangan malu untuk bersuara,” ujarnya.
Dengan rendah diri, suami kepada pelakon Diana Rafar itu percaya, tiada istilah pelakon baharu mahupun lama dalam industri seni, namun yang membezakan ‘kasta’ tersebut hanyalah pengalaman.

“Bagi saya, tiada beza pun pelakon senior atau junior. Mungkin pengalaman yang ditimba meletakkan jarak tersebut.
“Untuk sentiasa relevan, jangan letakkan populariti atau glamor sebagai penanda aras.
“Jika terlalu mengejar dua benda itu, akan mudah tersasar,” kongsinya panjang lebar.
Tambahnya lagi, setiap anak seni juga jangan sesekali melupakan asal-usul sekiranya sudah mendakap populariti.
“Nasihat saya ringkas sahaja, sentiasa ingat niat asal untuk bergelar pelakon. Sekiranya berjaya lolos dalam bidang ini, pamerkan bakat yang dimiliki sebaik mungkin.
“Jangan terlalu mendongak ke langit dan jangan sesekali lupa asal-usul,” tutupnya.















