fbpx

Suami hilang kerja bikin hati bertambah gusar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Engku Zuria Azura (kiri), Nur Aisya Humaira (tengah) dan Ruzman menunjukkan kad rawatan dan janji temu hospital di rumah mereka di Kampung Batu Enam, Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – Isteri dan anak sakit, suami pula diberhentikan kerja kerana kerap meminta cuti untuk menguruskan rawatan dua beranak itu.

Demikian kisah malang yang menimpa tiga beranak di Kampung Batu Enam di sini apabila hilang punca pendapatan yang mengakibatkan hidup mereka semakin tertekan.

Engku Zuria Azura Engku Mat Arif, 40, berkata, dia disahkan menghidap ketumbuhan rahang mulut, manakala anak perempuan sulungnya, Nur Aisya Humaira Ruzman, 13, mempunyai penyakit hipo tiroid.

Katanya, lebih malang suaminya, Ruzman Hamid, 41, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas diberhentikan baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila suami diberhentikan kerja atas alasan dia kerap ambil cuti untuk menghantar saya dan Nur Aisya menjalani rawatan berkala di Hospital Kemaman dan Hospital Dungun hampir setiap minggu.

“Tindakan itu telah menyebabkan kami sekeluarga hilang punca kerana ketiadaan pendapatan utama. Buat masa ini, kami cuba berniaga makanan sarapan pagi demi kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Engku Zuria Azura, pendapatan yang diperoleh setiap hari kira-kira RM50 dan ia memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan hingga terpaksa mengikat perut.

Tambahnya, demi berjimat, dia menunggang motosikal bersendirian setiap kali menjalani rawatan berkala di Hospital Kemaman sejauh 60 kilometer.

“Lebih merisaukan sewa rumah sudah tertunggak hampir RM2,000 dan kemungkinan besar akan terpaksa keluar sekiranya ia gagal dilunaskan segera.

“Tidak tahu kemanakah kami mahu berlindung nanti. Saya dan suami benar-benar sudah buntu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan di akaun bank Engku Zuria Azura bernombor 1561 6906 0050 (Maybank) atau menghubunginya di talian 010-391 9534.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI