fbpx

Manfaat Bajet 2022 dinikmati seluruh Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program SemarakNiaga memberi nafas baharu kepada perusahaan mikro untuk mendapatkan pembiayaan bagi membolehkan mereka beroperasi dan kekal berdaya saing. – Gambar hiasan

PEMULIHAN ekonomi negara kini dilihat berada di atas landasan kukuh sekali gus menterjemahkan bahawa kerajaan berjaya mewujudkan insentif terbaik menerusi Bajet 2022 bagi membantu Keluarga Malaysia bangkit semula ekoran pandemik Covid-19.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua tahun adalah 8.9 peratus berbanding hanya 3.6 peratus pada 2021 dan ini menunjukkan bahawa ekonomi negara terus berkembang pesat.

Jika diimbas kembali, inisiatif yang digariskan Kementerian Kewangan menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021 bukan sahaja tertumpu pada usaha meningkatkan ekonomi negara, tetapi turut memberi fokus dalam membangunkan kehidupan rakyat khususnya selepas dibelenggu pandemik Covid-19.

Antara inisiatif utama yang diwujudkan bagi memastikan corak kehidupan Keluarga Malaysia terus berkembang adalah Insentif Penggajian JaminKerja dan Program SemarakNiaga di mana ia berjaya menawarkan manfaat berganda dalam mengubah taraf ekonomi rakyat.

Insentif Penggajian JaminKerja merupakan bantuan kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022.

Gambar hiasan

Ia melibatkan golongan seperti perantis, graduan, golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), pesara tentera, bekas banduan, warga emas dan penganggur.

Menariknya, insentif itu menawarkan sebanyak 20 peratus daripada gaji kasar sehingga RM12,000 bagi setiap pekerja untuk enam bulan pertama dan 40 peratus daripada gaji kasar hingga RM24,000 untuk enam bulan seterusnya.

Secara keseluruhan, manfaat yang ditawarkan adalah sehingga RM36,000 bagi setiap individu yang diambil bekerja di bawah Program JaminKerja.

Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zulkifli Shah Mohd. Shah berkata, beliau berjaya mengubah corak kehidupannya ketika negara berdepan cabaran Covid-19 menerusi platform MyFutureJobs yang diwujudkan di bawah Insentif Penggajian JaminKerja.

“Sebagai seorang pesara ATM, saya mengetahui tentang MyFutureJobs daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM. Apa yang dapat saya katakan ialah prosesnya begitu cepat dan membantu saya mendapat peluang pekerjaan.

“Kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga sangat membantu dan membolehkan proses permohonan dilaksanakan secara mudah dan cepat,” katanya.

Selain itu, turut menerima manfaat sama adalah seorang jurulatih renang yang OKU, Tan Geok Kian. Beliau menyifatkan program Penjana HRDF (HRD Corp) berjaya mengubah kehidupannya apabila dapat mempelajari kemahiran baharu.

“Setiap orang jangan hadkan keupayaan sendiri, kalau minat melakukan sesuatu, teruskan sahaja. Walaupun OKU, saya tidak boleh duduk diam. Saya juga mahu mencari peluang lain.

“Kawan saya ada kongsikan tentang Penjana HRDF, ada banyak kursus ditawarkan, mungkin ia sesuai dengan OKU macam saya yang tidak pernah ceburi bidang ini, tetapi kini sudah ada asas solekan,” ujarnya.

Gambar hiasan

Dalam pada itu, Program SemarakNiaga yang yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 juga disifatkan memberi nafas baharu kepada rakyat apabila kerajaan menawarkan pelbagai skim pembiayaan merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk memanfaatkan setiap usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Berkongsi mengenai manfaat yang diterima, pemilik BoraOmbak Marina Putrajaya, Nik Zaiton Nik Abdullah berkata, insentif itu banyak membantu perniagaannya yang begitu terjejas sepanjang tempoh dua tahun Covid-19.

“Bagaimanapun, kami telah mendapat moratorium pinjaman dan juga bantuan kewangan daripada SME Bank. Proses permohonannya begitu mudah serta ringkas dalam mendapatkan bantuan,” ujarnya.

Berpandangan sama, pemilik syarikat pengeluar abah-abah pendawaian, S. Mani Vannan berkata, proses permohonannya mudah menerusi Program SemarakNiaga yang membolehkan perniagaan terus bertahan sepanjang pandemik tercetus.

“Dalam tempoh pandemik, kami mendapat permintaan yang rendah dan aliran tunai menjadi sangat ketat. Ini adalah masa untuk kita melabur dalam teknologi baharu.

“Kami menerima dana SRF selepas kerajaan menyediakan beberapa kemudahan yang sangat membantu untuk memulihkan perniagaan seperti sedia kala,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI