fbpx

Tiga beranak dituduh kes pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga beranak antara empat individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, George Town hari ini atas 150 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM300 juta.

GEORGE TOWN – Empat individu termasuk tiga sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 150 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta antara 2018 hingga 2020.

Keempat-empat tertuduh, Abdul Wahab S.Mohd Mydin, 53, Mohd. Nasri Abdul Rahman, 36, Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, dan Resool Bivi Yusof Gini, 50, mengaku tidak bersalah atas pelbagai pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di dua mahkamah berbeza.

Mohd. Nasri yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat pelaburan didakwa atas 118 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 2018 hingga 2020.

Abdul Wahab yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan didakwa atas 30 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram antara tahun 2018 hingga 2020.

Selain itu, Abdul Wahab turut mempunyai dua pertuduhan yang dibaca bersama isteri, Resool Bivi dan anaknya, Nur Hafeezah.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Di Mahkamah Sesyen Jenayah Satu, Mohd. Nasri menghadapi 60 pertuduhan manakala di Mahkamah Sesyen Jenayah Dua, tertuduh menghadapi 58 pertuduhan.

Sementara itu, Abdul Wahab menghadapi 15 pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Jenayah Satu dan di mahkamah sama, Abdul Wahab mempunyai satu pertuduhan yang dibaca bersama Nur Hafeezah.

Dalam pada itu, Abdul Wahab turut menghadapi 15 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah Dua yang mana, di mahkamah sama, Abdul Wahab menghadapi pertuduhan yang dibaca bersama Resool Bivi. Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pulau Pinang.

Menerusi prosiding yang dijalankan di Mahkamah Sesyen Jenayah Satu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong memohon jaminan ditetapkan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kes melibatkan Abdul Wahab dan Nur Hafeezah. Bagi kes melibatkan Mohd. Nasri pula, Harris memohon jaminan ditetapkan berjumlah RM600,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam yang mewakili Mohd. Nasri, S Raveentharan kemudiannya meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana beberapa sebab antaranya keadaan kesihatan dan tanggungan anak guamnya selain tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain itu, peguam yang mewakili Abdul Wahab dan Nur Hafeezah Mashitah Jamaluddin meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana kesemua mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Mohammad Khalid Karim kemudian menetapkan ikat jamin berjumlah RM50,000 untuk kesemua pertuduhan melibatkan Abdul Wahab, manakala wang jaminan untuk Nur Hafeezah ditetapkan RM25,000. Dalam pada itu, Mohammad Khalid juga menetapkan wang jaminan berjumlah RM300,000 untuk kesemua pertuduhan melibatkan Mohd. Nasri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI