fbpx

Penganjur mohon maaf, kontroversi konsert di Kedah jadi iktibar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Firdaus (dua kanan) memperkatakan sesuatu kepada Ainol Zulkarnain (dua kiri) selepas mengadakan perjumpaan di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Penganjur Festival Mingguan Muda-Mudi yang terpalit dengan kontroversi konsert di depan Masjid Zahir pada Sabtu lalu memohon maaf atas insiden tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran besar kepada mereka.

Pengelola Kolektif Biggy, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 38, memberitahu, program itu merupakan salah satu usaha mereka untuk mempromosikan bakat anak muda negeri ini dalam bidang seni dan keusahawanan.

“Kami memohon maaf andai kata apa yang kami buat ini memberi kesulitan kepada pihak muzium, balai seni dan kerajaan negeri.

“Apa yang berlaku sudah berlaku dan kami berada di waktu yang salah dan mungkin ini pengajaran yang sangat berharga untuk kami,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Terdahulu, penganjur berkenaan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd. Firdaus Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.

Menurutnya, festival itu diadakan di Balai Seni Negeri pada 30 September dan 1 Oktober lalu dan ia menjadi platform kepada anak muda untuk mengembangkan bakat seni dan bidang keusahawanan masing-masing.

“Kami ambil iktibar dan pengajaran daripada perkara ini untuk kami terus sukses dalam objektif program selepas ini.

“Jadi festival in bukan salah. Ini adalah pengajaran, kalau konsert seperti itu tidak lagi dibenarkan, kami akur. Namun bagi kami cabang seni tidak tertakluk kepada persembahan muzik sahaja, banyak lagi seperti seni kopi, kraf, fesyen, sukan lasak dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan aksi terkinja-kinja di Balai Seni Negeri di sini.

Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam kenyataan melarang sebarang jenis konsert hiburan yang boleh mencetuskan kelakuan di luar tatasusila di seluruh Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.