fbpx

Polis Indonesia dikecam bedil penonton guna gas pemedih mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA pasukan keselamatan berkawal di padang stadium bola sepak Kanjuruhan, Surabaya selepas perlawanan antara kelab Arema FC dan Persebaya Surabaya pada 1 Oktober lalu. - AFP

JAKARTA  – Polis Indonesia dikecam teruk kelmarin selepas 125 orang terbunuh dalam insiden  rempuhan di sebuah stadium bola sepak di mana anggota-anggota pasukan keselamatan melepaskan bedilan gas pemedih mata ke arah penyokong  yang menceroboh masuk ke padang.

Tragedi malam Sabtu lalu di bandar Malang itu turut menyebabkan 323 orang cedera. Ia merupakan antara bencana stadium sukan paling berdarah di dunia.

Penyokong kelab bola sepak Arema FC di Stadium Kanjuruhan menyerbu ke dalam padang selepas pasukan itu tewas 3-2 kepada pasukan pelawat dan seteru ketat mereka, Persebaya Surabaya.

Polis yang menyifatkan situasi di Stadium Kanjuruhan sebagai rusuhan berkata, mereka cuba memaksa peminat kembali ke tempat duduk masing-masing dan melepaskan gas pemedih mata selepas dua anggotanya terbunuh.

Ramai mangsa maut akibat dipijak dan sesak nafas, demikian menurut  polis Indonesia.

Jurulatih bola sepak Arema, Javier Roca berkata kelmarin bahawa ada peminat, malah ‘menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan pemain’, selepas beberapa pemain kekal di atas padang apabila perlawanan berakhir.

“Sekembalinya saya dari sidang akhbar, saya melihat tragedi itu.

“Saya fikir polis bertindak melampaui batas, walaupun saya tidak berada di luar sana,” kata Roca kepada  stesen penyiaran Sepanyol, Cadena Ser.

Mangsa yang terselamat memberitahu, penonton  panik ketika gas pemedih mata menghujani mereka.

“Anggota-anggota  polis melepaskan gas pemedih mata  dan secara automatik,  orang ramai cuba melarikan diri. Maka, berlaku tolak-menolak antara mereka yang menyebabkan ramai  menjadi  mangsa,” kata seorang penonton berusia 43 tahun dikenali sebagai Doni.

“Tiada apa-apa yang berlaku, tiada rusuhan. Saya tidak tahu apakah  isunya tetapi polis tiba-tiba menembak gas pemedih mata. Ini mengejutkan saya. Tidakkah mereka fikir tentang kanak-kanak dan  wanita?” tambahnya.

Orang ramai membawa penonton yang cedera keluar stadium, manakala mangsa-mangsa terselamat pula membawa mayat rakan-rakan mereka.

“Insiden ini sangat menakutkan, sangat mengejutkan,” kata mangsa yang terselamat berusia 22 tahun, Sam Gilang. Dia kehilangan tiga rakannya dalam rusuhan tersebut.

“Sekurang-kurangnya 125 orang terbunuh,” kata Timbalan Gabenor Jawa Timur,  Emil Dardak kepada stesen penyiar Metro TV petang kelmarin. Angka kematian rasmi itu menurun berbanding 174 mangsa sebelum ini kerana berlaku kesilapan dalam pengiraan.

“Sesetengah nama direkodkan dua kali kerana  telah dirujuk ke hospital lain dan nama mereka ditulis semula,” katanya yang memetik data polis tempatan daripada 10 buah hospital.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Joko Widodo (Jokowi)  mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan selain semakan semula prosedur keselamatan melibatkan semua perlawanan bola sepak. Beliau turut meminta  persatuan bola sepak Indonesia menangguhkan semua perlawanan sehingga ‘proses penambahbaikan keselamatan’ selesai.

Seorang pengarah hospital memberitahu stesen televisyen bahawa salah seorang mangsa yang terkorban berusia seawal lima tahun.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan orang ramai melaungkan kata-kata makian  kepada anggota-anggota polis yang memegang perisai dan belantan.

Imej yang dirakam  dari dalam stadium semasa insiden rempuhan pula menunjukkan polis melepaskan sejumlah besar gas pemedih mata dan orang ramai berlari memanjat pagar.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International menggesa siasatan dilakukan berhubung mengapa gas pemedih mata dilepaskan di ruang terkurung, kerana ia wajar digunakan hanya ‘apabila kaedah lain gagal’.

Banyak kenderaan yang dibakar, termasuk trak polis, dilihat bersepah di jalan raya di luar stadium pagi kelmarin. Stadium itu memuatkan seramai 42,000 orang dan pihak berkuasa berkata, semua tiket sudah habis dijual. Polis berkata, seramai  3,000 orang menyerbu padang.

Keganasan peminat adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama di Indonesia, di mana perseteruan mendalam boleh bertukar menjadi konfrontasi maut.

Arema FC dan Persebaya Surabaya adalah seteru lama. 

Penyokong kelab Persebaya Surabaya tidak dibenarkan membeli tiket perlawanan itu kerana pihak berkuasa  bimbang keganasan akan berlaku.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD  berkata, pihak  penganjur tidak mengendahkan syor untuk mencetak kurang sedikit tiket dan mengadakan perlawanan di sebelah petang berbanding malam.

Kelmarin peminat Arema membaling kelopak bunga pada monumen maskot singa kelab itu  di luar stadium sebagai memberi penghormatan kepada mangsa.

Di Jakarta pula, seramai 300 peminat bola sepak berkumpul untuk memberi penghormatan di luar Stadium Gelora Bung Karno.

Dalam pada itu, dunia bola sepak meratapi malapetaka di Stadium Kanjuruhan dengan Presiden badan induk bola sepak dunia FIFA, Gianni Infantino menyifatkan  rempuhan itu sebagai ‘tragedi yang tidak dapat difahami’.

Kelab bola sepak Manchester United dan Barcelona menyiarkan penghormatan secara online, manakala kelab-kebal  bola sepak Sepanyol lain berdiam diri selama seminit.

Tragedi stadium lain pernah berlaku sebelum ini termasuk insiden rempuhan di Stadium Hillsborough, Britain pada 1989 yang menyebabkan kematian 97 peminat Liverpool, Malapetaka di Stadium Port Said pada 2012 pula meragut nyawa 74 penyokong bola sepak di Mesir.

Pada tahun 1964, seramai 320 orang terbunuh dan lebih 1,000 yang cedera dalam insiden rempuhan di Stadium Nasional Lima melibatkan perlawanan kelayakan Olimpik antara Peru dan Argentina. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI