fbpx
MPN mengambil kira kepentingan untuk perlindungan sosial secara menyeluruh kepada semua golongan termasuk aspek kesihatan, sosial dan pendidikan. – Gambar hiasan

MPN komited menjaga kebajikan golongan rentan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) sentiasa komited dalam mengetengahkan cadangan dan pelan bagi menjaga kebajikan golongan rentan yang merupakan antara kumpulan paling terjejas akibat pandemik Covid-19, ditambah dengan peningkatan kos sara hidup.

Impak daripada situasi tersebut, keadaan hidup masyarakat telah terjejas terutama bagi mereka yang dahulu berada pada kategori M40 secara tidak langsung beralih kepada kategori B60.

B60 adalah kumpulan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ahli MPN dan juga aktivis kanak-kanak, Datuk Dr. Hartini Zainudin berkata, sekiranya tiada tindakan segera diambil, ia mampu menjejaskan produktiviti serta memburukkan lagi jurang pendapatan negara.

Jelas beliau, kerjasama daripada pelbagai pihak perlu dipupuk kerana ia memainkan peranan yang besar bagi menyediakan solusi jangka masa panjang sekali gus membendung masalah dihadapi golongan rentan.

Menurut Hartini, ketika pandemik Covid-19 bermula pada 18 Mac 2020, terdapat ramai orang miskin dan asnaf yang meminta pertolongan ekoran tiada bekalan makanan.

“Pada mulanya, kita banyak terima panggilan daripada kawasan Chow Kit di sini dan kemudian dari negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka dan Sabah.

“Boleh dianggarkan, saya menerima sehingga 300 mesej sehari daripada mereka memohon bantuan bekalan makanan sehingga tahap di luar kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Majlis Pemulihan Negara di MIDA Sentral, di sini kelmarin.

Sementara itu, Hartini merupakan pengasas bersama Yayasan Chow Kit dan juga Naib Presiden Voice of the Children yang berperanan dalam memberi khidmat advokasi, pembaharuan perundangan dan polisi serta latihan bagi isu-isu berkaitan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, katanya, dengan cadangan yang dipersetujui melalui Mesyuarat MPN pada 2021, Yayasan Hasanah telah menjalankan satu usaha sama bersama Yayasan Chow Kit untuk memberi bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, kerjasama tersebut melibatkan bantuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, BANTU (satu gabungan terdiri daripada 17 NGO negeri Sabah), Yayasan Sejahtera dan Zero Hunger.

“Saya juga ada mencadangkan agar ada NGO memimpin inisiatif tersebut bagi menutup jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Hasil daripada projek rintis yang telah dan sedang berjalan itu, kita telah berjaya membantu sebanyak 7,737 isi rumah pada fasa satu dan lebih 8,000 isi rumah pada fasa 2 yang dijangka selesai Oktober ini,” ujarnya.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, Hartini mengakui, proses melaksanakan usaha tersebut adalah tidak mudah selain jumlah wang yang diperoleh adalah kurang mencukupi bagi menampung bantuan yang sepatutnya diberikan.

“Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan sebanyak RM2 juta tetapi ia mengambil masa lapan bulan untuk mendapatkannya berikutan banyak prosedur yang perlu dilakukan.

“Disebabkan itu, kita lancarkan tabung dana (crowdfunding) setiap hari kerana pada waktu itu, saya masih menerima ratusan mesej yang memohon bantuan sehingga saya terpaksa ‘block’ (sekat) hampir 5,000 orang.

“Ini kerana, kita tidak mempunyai wang yang mencukupi maka kita tidak dapat memberi mereka makanan kepada semua orang yang memohon,” jelasnya.

Menurut Hartini, pihaknya menerima sebanyak RM800,000 sebagai permulaan dan kemudian mendapat baki RM1.2 juta pada bulan Ogos 2022.

“Dengan peruntukan itu, kami dapat memberikan makanan kepada lebih 7,600 keluarga isi rumah dan lebih 8,000 keluarga lagi sehingga akhir Oktober ini, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 15,000 keluarga yang dapat dibantu dengan wang yang diberikan.

“Tetapi jumlah itu tidak mencukupi dan bakul makanan adalah hanya sebagai solusi jangka masa pendek,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hartini berkata, apa yang lebih penting adalah perlindungan sosial secara menyeluruh kepada golongan tersebut meliputi kesihatan, sosial dan pendidikan.

Ini kerana, kadar bilangan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan, kadar kematian dalam kalangan bawah umur lima tahun dan bilangan ibu yang bersalin di rumah telah meningkat semasa pandemik dan perlu di atasi segera.

Gambar hiasan

“Dalam keadaan tidak menentu itu, ia telah menyebabkan bilangan kadar mereka yang berisiko telah meningkat. Ia lebih daripada sekadar memberi makanan tetapi ia tentang kesihatan, membendung kekurangan zat makanan, menangani polio serta pelbagai jenis penyakit.

“Semua orang fikir pandemik sudah berakhir dan mungkin berpendapat bahawa keadaan sudah pulih tetapi hakikatnya, terdapat banyak kelompongan yang masih boleh diperbaiki apabila ramai golongan kelas pertengahan kini susut menjadi B60.

“Apa yang kita perjuangkan adalah pelan perlindungan sosial supaya mereka boleh memiliki pekerjaan semula untuk membayar sewa, membayar kereta dan apa juga yang mereka perlukan.

“Bagi kanak-kanak pula, jika perkara ini tiada, bagaimana mereka nak pergi ke sekolah? Hendak berjalan dan belajar di sekolah kerana jika tidak mempunyai makanan, bermakna mereka tidak mempunyai wang,” katanya.

Oleh itu, tegas Hartini, ia harus menjadi pendekatan pelbagai serampang untuk melihat bagaimana ekosistem berkenaan perlu dicipta kerana makanan adalah asas bagi seseorang itu meneruskan kelansungan hidup.

“Ketika ini, kita mempunyai sebanyak 17,000 keluarga yang menjadi populasi sampel yang boleh kita lakukan intervensi bagi memastikan setiap isi rumah akan mendapat makanan sekurang-kurangnya lima hari seminggu.

“Jumlah tersebut adalah projek perintis yang akan dibentangkan kepada MPN dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Hartini berkata, jemputan menyertai MPN adalah satu usaha yang baik yang mana ia merupakan platform yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai bidang selain dapat melakukan sesuatu untuk negara.

“Paling penting kini, ia merupakan peluang untuk saya bergabung dengan pihak kerajaan dan swasta serta NGO berganding bahu membantu orang ramai yang tiada makanan kerana Malaysia tidak sepatutnya mempunyai masalah seperti ini.

“Sebagai ahli NGO dan mewakili masyarakat awam, saya mahu lakukan yang terbaik terutama dalam waktu kecemasan,” ujarnya.

MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang menghalusi Pelan Pemulihan Negara 2.0 bagi memastikan ekonomi kembali pulih terutamanya sektor yang paling terjejas akibat pandemik. – KOSMO! ONLINE

POPULAR