fbpx

Lee Min-ho kongsi duka tragedi Malang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEE MIN-HO

PETALING JAYA – Insiden kematian akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang yang dilaporkan meningkat kepada 174 mangsa merobek hati ramai termasuk masyarakat seluruh dunia.

Detik menyedihkan yang turut mengakibatkan lebih 300 penonton mengalami kecederaan dianggap antara kemalangan terburuk membabitkan perlawanan bola sepak.

Sudah pasti kejadian ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC (Arema) dan Persebaya Surabaya (Persebaya) meninggalkan impak kepada semua pihak terutama keluarga mangsa.

Tidak hanya warga tempatan tragedi berdarah pada 1 Oktober itu juga membuatkan ramai selebriti luar negara menzahirkan ucapan takziah dan meluahkan kesedihan mereka.

Bintang Korea Selatan, Lee Min-ho yang baharu berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan sebuah konsert juga antara artis yang menyampaikan salam takziah menerusi Instagramnya.

“Pray for Indonesia Kanjuruhan,” tulisnya yang juga obses terhadap sukan bola sepak.

Aktor berusia 35 tahun itu hanya meletakkan ayat berlatar belakangkan rona hitam tanda berkabung.

Perkongsian tersebut terus dibanjiri komen netizen yang rata-rata mengakui terkejut menerima ucapan takziah daripada figura terkenal itu.

“Shock (terkejut) banget, ternyata khabarnya sampai Korea Selatan,” tulis pemilik akaun @its.rhes mengomentari.

“Astaga aku isiiin (malu),” begitu pula komentar dilayangkan pemilik akaun lain, @roselya2407.

Terdahulu, seorang penonton dipercayai merempuh masuk ke padang sekaligus membuatkan ramai lagi penyokong kedua-dua pasukan berbuat perkara sama selepas perlawanan liga bola sepak itu berakhir.

Penyokong Arema dan Persebaya didakwa merusuh susulan Arema tewas 3-2 dalam perlawanan berkenaan.

Cubaan untuk mengawal keadaan pula mendorong pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata, namun difahamkan ia mengakibatkan penonton semakin berasak-asak mahu keluar.

Ketika itu ramai mangsa mengalami sesak nafas, pedih mata serta sukar mencari jalan keluar stadium dan cedera akibat dipijak dan dirempuh. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI