fbpx

Karya tempatan bakal diantarabangsakan di Pesta Buku Frankfurt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN ketika bertemu Gabi Rauch-Kneer sempena Pesta Buku Frankfurt 2022 di Frankfurt, Jerman semalam. - IHSAN/ WISMA PUTRA

PUTRAJAYA – Kementerian Luar bersedia memperkasakan lagi pelbagai buku kesusasteraan Malaysia hingga ke peringkat global dalam Pesta Buku Frankfurt 2022 yang akan berlangsung pada pertengahan bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu sejajar dengan kerangka dasar luar Malaysia bagi mempromosi diplomasi bahasa dan budaya tempatan ke persada sejagat.

Beliau menzahirkan keyakinan itu selepas gembira dapat bertemu Naib Presiden Pengurusan Pameran untuk program tahunan tersebut, Gabi Rauch-Kneer di Frankfurt, Jerman semalam.

“Kami turut bertukar-tukar pandangan dalam usaha mengantarabangsakan banyak karya sastera Malaysia ke tahap antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasminya hari ini.

Pesta Buku Frankfurt atau Frankfurter Buchmesse merupakan ekspo pameran dan penjualan buku tahunan terbesar di dunia melibatkan sejumlah 10,000 penerbit daripada lebih 100 negara.

Malaysia menyertai pesta tersebut secara rasmi bermula pada 2016 dengan penglibatan 30 buah syarikat penerbitan tempatan yang diketuai sendiri oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perbincangan dengan pihak penganjur amat baik apabila mereka bersedia membantu para penulis Malaysia bekerjasama dengan penerbit antarabangsa.

“Usaha berkenaan termasuk bagi mengenal pasti kerja-kerja pengedaran skala lebih luas serta menterjemahkan karya ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain,” jelasnya.

Pada pertemuan itu, beliau menghadiahkan senaskhah buku ‘New Politics 2.0: Multiracial and Moderate Malaysian Democracy’ ditulisnya sendiri pada 2017 yang diterbitkan Institut Darul Ehsan.

Turut serta dalam sesi perjumpaan tersebut ialah dua tokoh akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin dan Prof. Dr. Anis Yusal Yusoff.

Saifuddin berada di Jerman untuk lawatan kerja selama lima bermula pada 28 September lalu dengan pelbagai program padat termasuk bertemu Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI