fbpx

Sekolah rujuk polis sebelum keluar notis cubaan culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi melawat cadangan rekabentuk pembinaan Sekolah Presint 15 pada Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di Putrajaya di sini, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Sekolah-sekolah di negara ini diingatkan supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa sebelum mengeluarkan sebarang notis pemakluman berkaitan dakwaan cubaan culik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peringatan sama turut dikeluarkan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing mengenai perkara tersebut.

Menurut beliau, tindakan pihak sekolah mengeluarkan notis awal mengenai dakwaan cubaan culik adalah sesuatu yang baik namun dalam masa sama ia boleh menimbulkan kegusaran awam dan kerisauan terhadap ibu bapa.

“Niat pihak sekolah mengeluarkan notis sebegitu mungkin baik untuk mengingatkan ibu bapa namun begitu ini juga boleh timbulkan kerisauan kepada mereka.

“Sebab itu kita minta sekolah supaya rujuk pihak polis terlebih dahulu dan rujuk kepada JPN dan PPD sebelum keluarkan peringatan atau notis,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis penyerahan pelaksanaan projek pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan agar sebarang insiden atau isu yang berlaku di dalam kawasan sekolah atau pun sekitar perlu diperincikan terlebih dahulu supaya ia tidak menjadi satu kerisauan baharu dalam masyarakat.

Ditanya sama ada terdapat latihan kecemasan (drill) berkaitan kes-kes penculikan dilakukan, Radzi memaklumkan peringatan berkaitan isu tersebut sentiasa diajar di peringkat sekolah sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Radzi berkata, Kompleks Sekolah Presint 15 yang berkeluasan kira-kira 5.9 hektar itu dijangka siap pada Ogos 2025 dengan menelan belanja sebanyak RM121 juta.

“Ini merupakan kompleks sekolah pertama untuk penduduk di Presint 15 kerana sebelum ini Presint 15 tiada sekolah rendah mahu pun sekolah menengah.

“Jadi dengan pembinaan kompleks yang mengandungi 36 buah bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 bilik darjah bagi sekolah menengah ia tentunya akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pelaksaan projek tersebut dapat menampung lebihan murid dan mengatasi masalah penempatan murid baharu di sekolah berhampiran akibat pertambahan pendudukdan kewujudan perumahan baharu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI