fbpx
Wakil Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka menyampaikan bantuan kepada Muhammad Isaac di rumah keluarganya di Pernu, Melaka baru-baru ini. – AMRAN ALI

6 bulan tak datang sekolah kerana tumor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bertarung dengan tumor pada bahagian rahang kanan sejak setahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan Muhammad Isaac Ayden Mohd. Faizal terpaksa menangguhkan persekolahan selama lebih enam bulan berikutan keadaan kesihatannya yang lemah selain risiko jangkitan kuman yang tinggi.

Bapanya, Mohd. Faizal Maarof, 40, berkata, Muhammad Isaac sering meluahkan rasa rindu untuk ke sekolah dan berjumpa dengan rakan-rakan.

“Kadang-kadang bila tengok buku atau baju sekolah dia (Muhammad Isaac) jadi sayu.

“Sebagai bapa, memang sedih tapi saya cuba kuatkan semangat agar dia dapat melawan penya­kitnya itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka di rumahnya di Kampung Bukit Kechil, Pernu di sini baru-baru ini.

Menurut bapa tunggal itu, penyakit Muhammad Isaac dikesan selepas pipi kanak-kanak tersebut kemerah-merahan sebelum doktor gigi yang datang ke sekolah mencadangkan pemeriksaan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal dilakukan di Hospital Melaka sebelum Muhammad Isaac dirujuk ke Hospital Pakar Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan pakar mengesahkan terdapat ketumbuhan pada pipi berdekatan rahang.

Muhammad Isaac menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan menunjukkan perkemba­ngan positif apabila ketumbuhan semakin surut, namun masih menunggu keputusan ujian lain dari Institut Kanser Negara.

Mohd. Faizal berkata, kos ra­watan yang tinggi menjadi cabaran kerana masih terdapat bil tertunggak sebanyak RM20,000, namun bantuan daripada saudara-mara dan rakan-rakan sedikit sebanyak membantu meringankan beban.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh me­nyalurkan ke akaun Touch ‘n Go eWallet atas nama Mohd. Faizal Maarof menerusi nombor akaun 150857012674.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN