fbpx
Bilangan pengguna Transjakarta meningkat sejak pemerintah Indonesia menaikkan harga bahan api. – CNN Indonesia/ Adi Ibrahim

Pengguna bas awam Transjakarta bertambah susulan kenaikan harga bahan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Bilangan pengguna perkhidmatan sistem transit aliran bas (BRT) di Jakarta, Transjakarta, meningkat 10 peratus pada bulan lalu selepas pemerintah membuat keputusan menaikkan harga bahan api bersubsidi di Indonesia, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.

“Transjakarta mengalami peningkatan 10 peratus untuk jumlah penumpang pada bulan lepas. Seperti yang kita tahu, kenaikan harga bahan api telah diumumkan hampir sebulan lalu,” kata Ketua Bahagian Setiausaha Korporat Transjakarta, Anang Rizkani Noor dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Anang, peningkatan jumlah pelanggan membuktikan bahawa semakin ramai rakyat kini memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Tindakan itu secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

Peningkatan pelanggan turut didorong oleh usaha Transjakarta yang meluaskan liputan perkhidmatan. Syarikat itu dilaporkan membuka beberapa laluan baharu, menambah tempoh masa perkhidmatan, tempoh operasi dan bilangan kenderaan.

“Walaupun harga bahan api meningkat, tambang Transjakarta kekal 3,500 rupiah (RM1) untuk semua laluan khas BRT mahupun bukan BRT, tiada caj untuk perkhidmatan Microtrans dan bas dua tingkat serta kekal 20,000 rupiah (RM6) untuk perkhidmatan premium Royaltrans,” katanya.

Usaha itu selaras dengan sasaran Pemerintah Wilayah DKI Jakarta untuk menyediakan akses perkhidmatan pengangkutan awam sehingga 95 peratus untuk semua wilayah. – AGENSI 

POPULAR