fbpx

Boleh mohon ubah perintah mahkamah tambah nafkah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKAS isteri boleh membuat tuntutan ubah perintah kadar nafkah anak seiring dengan peringkat umur zuriat. – GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Tidak ramai yang tahu bahawa permohonan ubah perintah kadar nafkah anak yang ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah boleh dilakukan bagi memastikan bayaran kepada anak adalah berpatutan.

Peguam syarie, Farah Diyana Azhar berkata, kadar nafkah itu boleh diubah mengikut keperluan perbelanjaan mengikut pe­ringkat umur anak.

“Sebagai contoh, perbelanjaan anak semasa bayi adalah antaranya susu dan lampin pakai buang. Anak itu kemudian akan membesar dan mungkin melibatkan perbelanjaan lebih besar termasuk berkaitan persekolahan.

“Jadi, ubah perintah tuntutan nafkah terdahulu boleh dilakukan. Ini bagi mengelakkan bayaran nafkah tidak berpatutan diberikan kepada anak,” katanya.

Ujarnya, permohonan ubah perintah itu hanya boleh dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut sebelum itu.

Dalam pada itu, kata beliau, bagi yang masih ingkar dengan tidak membuat bayaran nafkah walaupun telah diperintahkan mahkamah, mereka boleh dikenakan tindakan penjara.

“Namun sebelum hukuman penjara dijatuhkan, ada prosedur yang perlu dilalui se­perti saman penghutang penghakiman dan perbincangan penyelesaian nafkah tertunggak,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kedekut, dendam serta bimbang wang diberi digunakan bekas isteri menjadi antara faktor utama ramai golongan bapa enggan membayar nafkah anak kandung. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI