fbpx
PEMANDANGAN dari atas sebuah resort di Kampung Panuba, Pulau Tioman.

Percutian singkat ke Tioman menenangkan jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Suhaila Saad

PERCUTIAN ke pulau merupakan satu pengalaman yang mengujakan, lebih-lebih lagi bagi ‘kaki’ pulau seperti saya.

Apatah lagi, selepas dua tahun tidak bercuti ekoran sekatan perjalanan yang disebabkan pandemik Covid-19, peluang mengunjungi Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini pastinya tidak saya lepaskan begitu sahaja.

Saya memilih untuk menginap di sebuah resort yang agak terpencil di sana iaitu Panuba Inn Resort.

Resort seperti chalet itu terletak di Kampung Panuba dan menyajikan pemandangan yang cukup indah.

Perjalanan saya dan adik perempuan ke Tioman bermula dengan menaiki bas dari Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur menuju Mersing.

Setibanya di sana, kami dibawa menaiki bot ke resort tersebut.

Perjalanan melalui laut hanya mengambil masa sekitar satu jam.

Selesai mendaftar masuk, saya melepaskan lelah seketika dengan berehat di dalam bilik.

Sejujurnya, bilik di sini kelihatan agak usang memandangkan usia hotel ini sudah agak lama.

Namun, saya dan adik perempuan tidak begitu cerewet.

Apa lebih penting, harganya agak berpatutan, menjadikan kami tidak kisah dengan keadaan itu kerana akhirnya dapat melepas gian untuk kembali bercuti di pulau.

SUASANA memukau yang sempat dirakam dari bilik hotel.

Kami memilih bilik yang mempunyai balkoni yang menyajikan pemandangan menghadap laut.

Memandangkan lokasi resort tersebut jauh dari tarikan lain di pulau berkenaan, tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat.

Bagi saya, ia sesuai buat mereka yang mahukan percutian di sebuah pulau yang sedikit privasi pada harga berpatutan.

Memandangkan resort tersebut hanya mempunyai sebuah restoran, maka kami memesan menu makan malam di situ dan tidak melepaskan peluang merakam suasana matahari terbenam di situ.

Keesokan harinya, selepas bersarapan, kami memilih untuk melakukan aktiviti snorkeling.

Biarpun cuaca agak terik, namun kami tetap bersemangat melakukan aktiviti berkenaan memandangkan sudah lama tidak berseronok di pulau.

Kami mengambil peluang ini untuk benar-benar merehatkan diri dan lari seketika daripada memikirkan bebanan kerja di ibu kota.

Selepas puas dan penat, kami kembali semula ke jeti dan berjalan-jalan serta merakam gambar kawasan sekitar sebagai kenangan.

Selepas itu, kami kembali ke bilik dan menyalin pakaian sebelum makan tengah hari.


PENGINAPAN yang terletak sedikit jauh dari kawasan pelancongan lain di Pulau Tioman, menjadikannya lebih privasi dan menenangkan.

Biarpun aktiviti kami terhad sekadar di kawasan itu sahaja, namun saya amat menikmati percutian ini memandangkan hanya mahukan satu percutian cukup santai.

Sebelah malam pula, kami menghabiskan masa dengan berbual di balkoni bilik yang tenang diselangi deruan angin laut yang mendamaikan.

Keesokan harinya, kami mendaftar keluar dan bersiap untuk pulang semula ke ibu kota.

Biarpun singkat, namun kami amat berpuas hati dengan percutian santai ini dan akan mengulanginya pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN