fbpx

Blogger Rhys William, keluarga hilang di Hulu Tembeling ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZLAN Hassan (dua dari kiri) mengiringi keluarga pelancong warga British yang ditemui di Kampung Pagi di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Seramai lima pelancong warga British berusia antara 22 hingga 62 tahun yang hilang di hutan Kampung Pagi  ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat di Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.

Pelancong berkenaan terdiri daripada lima sekeluarga, iaitu Rhys William Woodfield, 30; Siaw Woodfield, 25; Owen Woodfield, 22; serta dua warga emas, James Woodfield, 62, dan isterinya, Rachel Anne Woodfield, 60.

Keluarga tersebut yang tiba di pusat peranginan di Taman Negara pada 25 September lalu dan menginap di Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur semalam namun tidak pulang pusat penginapan mereka.

Ketua Polis Daerah Jerantut , Superintendan Mazlan Hassan berkata, isteri salah seorang mangsa yang beralamat di Danau Impian, Kuala Lumpur telah membuat laporan polis mengenai kehilangan ahli keluarganya.

“Kita memperoleh maklumat daripada isteri salah seorang mangsa yang percaya lokasi terakhir suaminya, Rhys William Woodfield serta keluarganya berada di kawasan hutan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.

“Kesemua mangsa hilang kemudiannya berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Sungai Relok berdekatan Kampung Pagi pada pukul 1.10 petang hari ini dan keluarga warga British itu segera dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tahan untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya seramai tiga orang pegawai, 14 anggota polis dibantu lima kenderaan membuat penugasan mencari di sekitar Kampung Pagi pada pukul 2.30 pagi hari ini melibatkan bantuan Pengusaha Eco Rimba Taman Negara Kuala Tahan dan anggota Pondok Polis Kuala Tahan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan oleh anggota Pondok Polis Kampung Bantal dengan membuat rondaan dari Kampung Bantal hingga ke Kampung Pagi pada pukul 2.35 pagi.

“Saya berterima kasih kepada semua agensi petugas mencari dan menyelamat termasuk penduduk di sini kerana bertindak pantas dan cekap sehingga menemukan keluarga British ini dengan selamat.

“Pelancong dinasihatkan supaya memberitahu pusat penginapan masing-masing sekiranya ingin membuat pengembaraan di lokasi Taman Negara dan kampung berdekatan dan sewajarnya menggunakan khidmat pemandu alam sekitar untuk mengelakkan berlaku kejadian sesat dan kecelakaan di hutan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI