fbpx
Imej Fat Leonard disiarkan oleh akaun Instagram Interpol Venezuela pada 21 September lalu. – AFP

Fat Leonard mohon suaka di Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS, VENEZUELA – Ahli perniagaan Malaysia yang mendalangi komplot rasuah besar-besaran membabitkan puluhan pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Fat Leonard meminta suaka di Venezuela, hampir seminggu selepas dia diberkas di negara Amerika Selatan itu.

Menurut stesen penyiaran NBC News, Fat Leonard atau nama sebenarnya Leonard Glenn Francis melarikan diri dari tahanan rumah di San Diego, California pada 4 September lalu, seminggu sebelum dia dijadualkan dijatuhi hukuman penjara.

Seorang pegawai yang enggan mendedahkan identitinya mengesahkan perkara itu, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai pergerakan kontraktor pertahanan tersebut.

Mengikut undang-undang, kerajaan Venezuela perlu mempertimbangkan permintaan suaka tersebut.

Francis memiliki syarikat yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia Ltd. (GDMA)  yang beroperasi membekalkan makanan, air dan bahan api kepada kapal-kapal sejak beberapa dekad lalu.

Dia mengakui mengenakan caj berlebihan kepada Tentera Laut AS sebanyak AS$36 juta (RM166 juta) dengan bantuan berpuluh-puluh pegawai yang menerima habuan pelacur, daging lembu dari Kobe, cerut dan beberapa rasuah lain.

Ia sebagai balasan kepada mereka mengarahkan kapal-kapal perang AS menuju ke pelabuhan-pelabuhan yang dikawal oleh Francis di rantau Pasifik, Asia Tenggara untuk mengambil bekalan..

Francis mengaku bersalah pada 2015 dan berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Ketika menanti hukuman dijatuhkan, dia menjalani tempoh tahanan rumah di San Diego dan menerima penjagaan kesihatan ketika memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan yang membawa kepada sabitan 33 daripada 34 defendan.

Pegawai-pegawai AS dan Venezuela berkata, Francis memotong alat pengesan yang dipasang pada buku lalinya, terbang ke Mexico dan menuju ke Cuba sebelum tiba di Venezuela dan kemudian ditangkap Selasa lepas.

Pihak berkuasa AS mempunyai 30 hari untuk memohon ekstradisi Francis secara rasmi. 

Pejabat peguam AS enggan mengulas apabila ditanya mengenai permohonan suaka Francis di Venezuela. – Agensi 

POPULAR