TUMPAT – Kehilangan lebih dua minggu ejen kosmetik dikenali Azi dari rumahnya di Kampung Semat Jal di sini merubah rutin harian bapa wanita itu apabila lelaki berkenaan hilang selera makan selain sukar tidur sejak tiga hari lalu.
Kakak kepada Azi yang enggan dikenali berkata, perubahan bapanya, Mohd. Naim Awang, 70, itu ekoran kebimbangan melampau memikirkan tentang keselamatan adiknya.
Menurutnya, bapanya hanya makan biskut dan air sahaja apabila lapar dalam tempoh itu.
“Dia tidak mahu menjamah nasi atau makanan berat kerana tiada selera makan. Bukan hanya makan, tidur ayah juga terjejas apabila dia sering memikirkan keselamatan Azi.

“Dia berfikir macam-macam meskipun pihak polis ada memaklumkan sudah ada perkembangan positif dalam usaha mengesan Azi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut wanita itu, situasi tersebut membuat dia dan adik-beradik lain turut terkesan memikirkan kesihatan bapa mereka.
Berita berkaitan: Anak mangsa culik di Kelantan tidak ke sekolah
Berita berkaitan: Apa dosa anak saya sampai diculik
Katanya, selain itu, kehilangan Azi turut menjejaskan kesihatan ibu, Zahasnah Mohd Zain, 61, walaupun dia reda dengan kejadian tersebut.
“Hanya kepada Allah kami berserah. Setiap waktu kami doakan keselamatan Azi,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.
Menurutnya, keadaan itu dipercayai menjadi punca utama kepada penculikan Azi yang kini dipercayai berada di Thailand.














