fbpx
LIYANA JASMAY

Pilih kawan mudahkan kerja – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMULAKAN kerjaya sebagai anak seni seawal usia sembilan tahun cukup menjadi tempoh yang untuk mendewasakan seorang figura bernama Liyana Jasmay.

Sebut sahaja genre drama atau filem, semuanya sudah diterokainya, termasuk juga dunia muzik. Saat zaman kegemilangannya, dia sempat muncul dengan lima buah single.

Tidak pernah wujud istilah ‘puas’ dalam hidupnya, wanita berusia 35 tahun itu mula menceburkan diri dalam dunia belakang tabir sebagai pengarah sejak tahun 2015 bersandarkan rumah produksi sendiri, Mermaid Studio.

Pernah meledak menerusi drama Kami The Series, langkah serius Liyana bergelar sutradara sejak beberapa tahun lalu memberinya peluang untuk membawa lebih banyak olahan baru dan kreativiti dalam karya seninya.

LIYANA JASMAY mengakui karakternya menjadi lebih tegas, bertenaga dan garang saat duduk di kerusi pengarah. – AMIR KHALID

Ekspektasi tinggi

Baru muncul dengan sentuhan terbaharu menerusi Cikgu Vs Hantu, Liyana mengakui, dia seorang individu gilakan kesempurnaan dalam setiap hasil kerja.

Ungkap ibu kepada dua cahaya mata itu, perwatakannya sebagai pengarah juga berbeza berbanding karakter ketika bergelar pelakon.

“Bila duduk di kerusi pengarah, tekanan dan karakter saya memang berbeza.

“Lebih energetik dan garang. Mungkin ada yang terkejut melihat saya ketika menjadi pengarah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta itu, perkara sebegitu dapat membantu dirinya mencari pelakon yang sesuai diajak bekerja.

BIARpun masih baru bergelar pengarah dan penerbit, Liyana Jasmay menyimpan cita-cita untuk menjual nama baik Malaysia di persada perfileman global.

Pengarah yang masih hijau dalam industri seni tempatan itu juga mengakui masih banyak kelemahan yang harus diperbaiki dalam setiap hasil kerjanya.

“Kelemahan dalam setiap naskhah yang saya arahkan pasti ada cuma perlu sentiasa sedar tentangnya kemudian apa penambahbaikan yang hendak dilakukan.

“Untuk menjadi seorang pengarah yang hebat, kerjanya bukan sekali. Pengarahan drama televisyen antara yang banyak memberi pengalaman dan ilmu tentang dunia belakang tabir,” ujarnya.

Disoal mengapa kerap mengambil sahabat baik sebagai pelakon dalam naskhah arahan sendiri, Liyana tidak berselindung memberitahu perkara sebegitu memudahkan dirinya.

Sudah faham cara bekerja dan ingin bantu mempamerkan bakat mereka yang kurang diberi pendedahan, demikian jawapannya.

“Pendirian saya, akan sentiasa sokong insan seni yang bagus. Industri kita ramai pelakon hebat dan tenaga mereka inilah yang harus dipamerkan dalam setiap naskhah seni.

“Dalam masa sama saya tawarkan pelbagai watak, sekali gus memberi peluang mereka mempamerkan kemampuan dimiliki. Kadang-kadang ada yang muka samseng tapi sebenarnya mampu jayakan karakter lucu.

“Benda-benda sebegitulah yang harus dicungkil lagi dalam diri seorang anak seni. Tanpa sedar, kita bantu mewarnai perjalanan seni mereka,” katanya.

LIYANA bersama barisan pelakon termasuk Afdlin Shauki dan Zahirll Adzim yang menyerikan filem terbaharu arahannya, Cikgu Vs Hantu.

Hala tuju

Bersemangat dengan bidang pengarahan, pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem ke-22 itu memasang impian untuk membawa naskhah Malaysia ke mata dunia kelak.

“Jika ditanya impian lima tahun lagi, saya dan kakak (Adriana Jasmay) mungkin akan bawa nama Malaysia ke negara lain. Mungkin orang lain sudah lakukan dan giliran saya pula akan tiba.

“Impian itu untuk membawa idea kita. Sebenarnya orang asia termasuk Malaysia, mempunyai idea yang sangat hebat dan kreatif,” jelasnya.

Baginya, seorang penggiat seni tidak seharusnya hanya duduk dalam takuk sama dan mensia-siakan peluang besar untuk membawa jenama anak tempatan ke mata dunia.

“Justeru, sebagai seorang anak seni, mengapa perlu kita sia-siakan semua itu. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak bawa nama seni Malaysia ke mara dunia?

“Saya nak buktikan, anak tempatan mampu hasilkan sesuatu yang hebat hanya dengan bajet yang kecil.

“Jangan pandang rendah dengan naskhah yang berbekalkan bajet kecil kerana kita tak tahu apa impak yang akan diberikan kepada masyarakat,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN