EMPAT wanita cantik yang memperkenalkan diri sebagai The Gadys itu memulakan kerjaya nyanyian menerusi single raya berjudul Gadys Raya yang dilancarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Dibarisi Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini, kumpulan hasil ‘perkahwinan’ Universal Music Malaysia dan Valient Music itu juga optimis mampu pergi lebih jauh dengan karya yang dihasilkan.
Buktinya, mereka yang mempunyai lebih 200,000 pengikut dan mendapat lebih 2.8 juta tanda suka dalam TikTok cukup untuk memperkenalkan lagi nama The Gadys.
Enggan menunggu lama, The Gadys muncul dengan single Gelek Jambu yang menggabungkan elemen reggaeton, rock dan tradisional.
Nelissa Nizam yang mewakili The Gadys berkata, lagu Gelek Jambu sebuah karya unik, segar dan sesuai untuk pasaran muzik semasa, sekali gus bakal menarik perhatian pengguna laman sosial terutama TikTok.
“Lagu ini sangat ‘fun’, ‘cheeky’ dan ‘mess’ sebab ada pelbagai stail. Ada ‘cute’, reggaeton, rock dan tradisional sebagai muzik latar.

“Lagu ini mengisahkan bagaimana The Gadys bersikap sambil lewa dalam perhubungan.
“Jika tak suka dengan cara pasangan, jika dia ‘toxic’, buang jauh-jauh dan berseronoklah dengan orang lain, yang penting adalah rakan-rakan kita, The Gadys,” katanya.
Menurut Aznie Azmi pula, proses rakaman lagu Gelek Jambu banyak dibantu oleh Mage dan Glowrush.
“The Gadys bukan hanya menyanyi biasa, tetapi kita menyanyi dengan karakter dan emosi daripada setiap lirik yang dinyanyikan.
“Sehingga waktu saya kena nyanyi bahagian saya, Glowrush suruh pegang gitar seolah-oleh ‘rockstar’, pegang beg dan cawan seperti perempuan yang jual mahal,” katanya.
Bagi Ayunie Rizal pula, bukan sahaja proses rakaman yang seronok, tetapi penggambaran video muzik (MV) juga membuatkan masing-masing tidak sabar untuk menunjukkan hasilnya kepada peminat.

Bersengkang mata
“Kami menjalani penggambaran selama 24 jam, tapi pukul 5 pagi pun kami masih bertenaga untuk meneruskan penggambaran dalam menghasilkan MV Gelek Jambu,” katanya.
Sementara itu, Faa Zain mengakui The Gadys seronok dapat bekerjasama dengan semua individu profesional sehingga menghasilkan karya berkualiti.
Selain itu juga, Sofia Sabri juga terbabit membentuk tarian Gelek Jambu ini.
“Kelas tarian kami akan dibuat dua hingga tiga kali seminggu. Banyak perkara baru yang kami belajar semasa dalam kelas menari dengan Sofia.
“Semasa penggambaran MV, semua kru sangat memberikan sokongan yang membuatkan kami tak mengeluh dan mudah putus asa,” katanya.

“Pada masa sama, Nelissa Nizam berkata, The Gadys akur apabila turut berdepan cabaran sepanjang menyiapkan lagu dan MV Gelek Jambu.
“Cabaran paling utama The Gadys adalah masa kerana kami juga terbabit dalam bidang lakonan. Namun, jadual penggambaran yang sangat padat tidak menghalang kami untuk menyiapkan MV Gelek Jambu.
“Ada yang tidak tidur, habis ‘shooting’ MV jam 5 pagi dan terus ke lokasi penggambaran drama yang bermula pada pukul 8 pagi.
“Ada yang mandi di set penggambaran pun ada. Itu belum lagi latihan menari sampai pukul 2 pagi, tetapi alhamdulillah, semua ujian dapat kami tempuhi dengan baik kerana rasa sayang terhadap satu sama lain di antara pasukan dan semangat yang tidak pernah jatuh,” katanya.
The Gadys berharap lagu Gelek Jambu dapat memberi hiburan dan membuatkan peminat turut bergoyang, gelek keriangan saat dinikmati di mana sahaja.
“Lagu ini dapat memberi senyuman, gelak tawa dan meningkatkan ‘mood’ untuk semua orang.
“Kami juga berharap, walaupun lagu itu ada menyelitkan sedikit ‘Indonesian ad-lip’, semoga semua dapat ‘enjoy’ walau di mana jua anda berada,” kata mereka.
Gelek Jambu kini boleh didapati menerusi semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Video muziknya pula boleh ditonton dalam saluran YouTube The Gadys sejak 9 September lalu.

















