fbpx

Mesej tular kanak-kanak dilarikan, organ dijual adalah palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan sebaran mesej di media sosial meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan kanak-kanak adalah palsu.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej tersebut mengatakan kanak-kanak akan dilarikan ke negara jiran.

“Mangsa dikatakan diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

“Mesej tersebut juga didakwa bahawa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam orang kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Skandaguru, semakan mendapati mesej palsu tersebut tular di media sosial sejak tahun 2017 dan kini kembali diulang siar.

“PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita-berita yang tidak berasas seta tidak ditentukan kesahihannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI