fbpx
Gambar hiasan.

Hujan lebat di Kelantan, Terengganu sehingga Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu dari 28 hingga 30 September ini.

Ia berikutan tiupan angin barat di rantau negara dijangka meningkat disebabkan oleh Taufan Noru yang ketika ini berada di utara Filipina dan dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Kapit (Belaga) dan Miri (Telang Usan) di Sarawak sehingga pukul 7 malam ini.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR