fbpx
NORLIZA (lima dari kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada 20 usahawan asnaf pada majlis pelancaran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Seberang Perai baru-baru ini.

USHAniaga bukti komitmen UDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia membuktikan komitmen berterusan UDA Holdings Berhad (UDA) selaku syarikat peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan dalam menggiatkan aktiviti keusahawanan serta sosioekonomi setempat.

Selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Odeon Walk, Kuala Lumpur bulan lepas, Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini menjadi lokasi kedua penganjuran karnival selama tiga hari itu bermula 16 September lalu.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, Pulau Pinang khususnya Tasek Gelugor dipilih kerana kawasan itu menempatkan ramai usahawan serta peniaga-peniaga kecil yang menjalankan pelbagai perusahaan khususnya kecil dan sederhana.

Katanya, jika di Kuala Lumpur terdapat kira-kira 200 usahawan yang mengambil bahagian, sambutan di sini juga tidak kurang hebatnya apabila seramai 195 usahawan turut serta.

Peniaga Pasar Karat di Tasek Gelugor menerima khemah mudah alih sumbangan UDA untuk memudahkan mereka berniaga di bawah panas terik dan hujan.

Menurut Norliza, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk 10 usahawan ‘food truck’ yang turut memanfaatkan sepenuhnya penganjuran karnival tersebut.

“Kami di UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan keluarga usahawan terus berdaya saing dan berupaya untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang semakin pulih.

“Inisiatif (penganjuran karnival) ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan daripada golongan wanita khususnya suri rumah seperti siswazah dan sebagainya.

“Sasaran penglibatan wanita, belia serta graduan ini pula diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di sini baru-baru ini.

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia turut membawa penyertaan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui beberapa agensi di bawah kementerian itu, antaranya

Institut Keusahawanan Negara (Insken), Suruhanjaya Koperasi Malaysai (SKM), Institut Koperasi Malaysia (Ikma), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, siri jelajah karnival itu akan singgah ke Angsana Johor Bahru Mall pada 21 hingga 23 Oktober, Angsana Ipoh Mall di Perak pada 4 hingga 6 November serta Serambi Teruntum Kuantan di Pahang pada 2 hingga 4 Disember 2022.

Sementara itu, bersempena pelancaran Karnival UDA USHAniaga di Pulau Pinang, UDA turut menyerahkan sumbangan zakat kepada 20 usahawan asnaf tempatan dengan setiap daripada asnaf tersebut menerima zakat berjumlah RM1,000 tiap seorang.

NORLIZA diberi penerangan mengenai projek hartanah terbaharu milik UDA yang sedang dan akan dibangunkan di Pulau Pinang.

Seramai 80 peniaga pasar karat di sekitar Tasek Gelugor juga menerima khemah mudah alih bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan masing-masing terutamanya ketika musim hujan.

Pada masa sama, satu acara larian iaitu Larian ‘Life’ (Fun Run) yang diselaraskan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Pulau Pinang turut diadakan pada sebelah pagi hari kedua dalam usaha memeriahkan penganjuran karnival berkenaan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Norliza memberitahu, pihaknya tidak meletakkan sasaran jualan untuk karnival yang berlangsung di Pulau Pinang walaupun jumlah jualan keseluruhan yang direkodkan di Kuala Lumpur sebelum itu hampir mencecah ke angka RM2 juta.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah memberi tumpuan terhadap nilai jualan yang memberangsangkan dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan di negeri ini.

“Rata-rata usahawan ketika ini bukan sahaja mahir dalam menghasilkan produk, namun mereka juga semakin kreatif dari segi pembungkusan untuk menarik minat pembeli.

“Di Tasek Gelugor umpamanya, kita dapati terdapat satu kelainan apabila banyak produk penjagaan kesihatan berasaskan herba dijual oleh usahawan kecil di sini dan pembungkusan produknya juga amat kreatif.

“Produk-produk seperti ini sebenarnya boleh diketengahkan lagi untuk pergi lebih jauh (eksport) bagi membolehkan para usahawan ini menjana pendapatan yang lebih tinggi,” tambah beliau.

POPULAR