fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid lepas, bebas 40 pertuduhan rasuah VLN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Sebelum ini, pasukan pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah selama empat hari bermula 1 hingga 7 September lalu.

Untuk rekod, perbicaraan kes ini memakan masa selama 29 hari bermula 24 Mei 2021 hingga 11 Ogos lalu.

Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Ahmad Zahid pula diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil seramai 18 saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Mengikut pertuduhan utama, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Suapan itu bagi menyambung kontrak syarikat tersebut sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN pada 2014 hingga 2017.

Presiden UMNO itu turut mengaku tidak bersalah atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya SGD$1,150,000, RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang pada Oktober 2014 dan Mac 2018.

Selain kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ahmad Zahid sedang menjalani perbicaraan bela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI