fbpx

Amerika Syarikat hadapi letusan penyakit kelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menunggu dalam barisan untuk menerima vaksin cacar monyet di Kampus Pendidikan Bushwick di Brooklyn, Bandar Raya New York pada 17 Julai lalu. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Lonjakan kes penyakit kelamin (STD) termasuk peningkatan 26 peratus jangkitan sifilis yang dilaporkan pada tahun lalu, mendorong pegawai-pegawai kesihatan di Amerika Syarikat (AS) melaksanakan usaha pencegahan dan rawatan baharu, lapor akhbar New York Post kelmarin.

“Adalah penting untuk kita berusaha membina semula, berinovasi dan meluaskan kempen pencegahan STD di AS,” kata Dr. Leandro Mena daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam ucapannya semasa persidangan perubatan mengenai penyakit kelamin. 

Kadar jangkitan untuk beberapa jenis penyakit STD termasuk gonorea dan sifilis mencatat peningkatan dari tahun ke tahun. 

Jangkitan sifilis di AS pada tahun lalu mencapai angka tertinggi sejak 1991 dan merekodkan jumlah keseluruhan tertinggi sejak 1948. Kes virus kurang imun (HIV) juga meningkat 16 peratus tahun lalu.

Dalam pada itu, wabak cacar monyet yang menular terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis telah memburukkan lagi keadaan, dengan kebanyakan penyakit kelamin tersebar melalui hubungan seks.

Situasi tersebut mendorong pegawai-pegawai mengusahakan pendekatan baharu untuk mengekang penularan seperti kit ujian di rumah untuk sesetengah penyakit STD. Langkah itu memudahkan orang ramai menjalankan ujian dan mengambil langkah pencegahan, kata Mena.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pengarah STD Kebangsaan, David Harvey berkata, situasi penyebaran STD di AS kini ‘di luar kawalan’.

Pakar-pakar lain pula berpendapat bahawa usaha utama yang diperlukan adalah meningkatkan penggunaan kondom semasa melakukan hubungan intim.

“Lebih banyak jangkitan seksual berlaku apabila orang ramai melakukan hubungan seks tanpa perlindungan,” kata pakar penyakit berjangkit dari Universiti Alabama, Dr. Mike Saag.

Sifilis adalah penyakit bawaan bakteria yang muncul sebagai kudis pada kemaluan tetapi akhirnya membawa kepada gejala lebih teruk, malah berakhir dengan kematian jika tidak dirawat.

Jangkitan sifilis merosot di AS dalam tahun 1940-an apabila ubat antibiotik tersedia secara meluas. Menjelang 2020, kes sifilis meningkat semula mencecah hampir 41,700 kes dan melonjak kepada lebih 52,000 kes tahun lalu.

Kadar kes juga mencecah kira-kira 16 bagi setiap 100,000 orang pada tahun lepas. Jumlah itu adalah tertinggi dalam tempoh tiga dekad.

Peningkatan kes sifilis kongenital (penyakit sejak lahir) berlaku apabila ibu yang dijangkiti menyebarkan kuman kepada bayi mereka. Ia berpotensi menyebabkan kematian kanak-kanak atau masalah kesihatan seperti pekak dan buta.

Kes sifilis kongenital secara tahunan hanya berjumlah kira-kira 300 untuk sedekad lalu. Ia bagaimanapun melonjak kepada hampir 2,700 kes tahun lepas dengan 211 bayi mati semasa lahir, kata Mena.

Kemunculan wabak cacar monyet menambahkan lagi bebanan CDC. Agensi itu baru-baru ini menghantar surat kepada setiap jabatan kesihatan negeri dan tempatan dengan mengatakan bahawa sumber peralatan bagi menangani HIV dan STD boleh digunakan untuk memerangi wabak cacar monyet.

Mena yang menjadi pengarah Bahagian Pencegahan STD untuk CDC pada tahun lepas juga menyeru orang ramai supaya menghapuskan stigma, meluaskan perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan, selain menyokong pembangunan dan kebolehcapaian ujian di rumah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI