fbpx

MSN nafi tak ikut standard jadual olahraga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKMA 2022

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan, jadual sukan olahraga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 baru-baru ini berjalan mengikut amalan standard ditetapkan di pelbagai pertandingan.

Ia susulan rungutan beberapa pihak terhadap penganjuran sukan olahraga yang melabuhkan tirainya di Stadum Nasional, Bukit Jalil pada 18 September lalu, mencetuskan pelbagai masalah kepada kontinjen bertanding.

Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Media dan Publisiti MSN, kesemua jadual olahraga telah diputuskan secara bersama oleh penganjur Sukma 2022 dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

“Jadual acara-acara telah dimaklumkan lebih awal kepada setiap pasukan yang mempunyai masa mencukupi untuk menyusun penyertaan atlet masing-masing mengambil kira faktor prestasi serta jarak masa rehat.

“Masalah kecederaan yang dilaporkan berkemungkinan berpunca daripada tindakan segelintir negeri menyenaraikan seseorang atlet dalam banyak acara tanpa mengambil kira tempoh rehat mencukupi buat mereka.

“Penjelasan ini bertujuan memperbetulkan dakwaan ketua jurulatih Terengganu, Zaki Sadri yang mendakwa penjadualan acara dibuat tanpa merujuk kepada pihak berpengalaman.

“Beliau seharusnya tahu sukan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, acara-acara olahraga juga dilangsungkan pada sesi pagi selain sesi petang dan sesi sebelah malam,” menurut kenyataan itu.

MSN turut menjelaskan rungutan jurulatih jalan kaki Wilayah Persekutuan, V. Subramaniam adalah tidak benar selepas beliau mendakwa atlet jalan kaki 5,000 meter (m) terpaksa menghabiskan jarak tambahan 400m.

“Subramaniam dan pasukan (Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur juga tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan rasmi dan bukti-bukti kepada penganjur bagi menyokong dakwaan mereka itu,” jelas MSN.

Sehubungan itu, penganjur menggesa jurulatih dan pegawai pasukan merujuk kepada pengurusan kontinjen masing-masing yang sentiasa mendapat maklumat terkini serta terperinci sebelum membangkitkan sebarang isu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI