fbpx

KPWKM alukan kerjasama NGO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zailah (tengah) menyaksikan penyerahan barangan sumbangan berupa susu formula, lampin pakai buang dan bag urin daripada Zulkifli (tiga kanan) kepada Mohd. Kufri@Othman (tiga kiri) pada Majlis Penyerahan 1000 Kit OKU oleh Muslim Care Malaysia di pejabatnya KPWKM, P

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, melalui kerjasama yang dijalin dengan banyak pihak, lebih ramai anggota masyarakat yang memerlukan akan dapat dibantu.

“Memperkasakan komuniti ini sangat penting dalam masyarakat, selain bantuan bulanan yang telah diberi oleh kerajaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), kita turut mengharapkan sokongan daripada komuniti setempat untuk membantu.

“Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyediakan pelbagai bantuan yang diperlukan namun dengan adanya sokongan daripada NGO, ia menjadi nilai tambah kepada bantuan yang disalurkan kepada golongan OKU tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan 1,000 kit CareOKU di sini hari ini.

Sumbangan dengan nilai keseluruhan RM115,000 itu disampaikan oleh Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan kepada Ketua Skuad Upaya Malaysia, Mohd. Kufri @ Othman Omar.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, selaras dengan gerak kerja kempen yang dilaksanakan, Muslim Care menyediakan sebanyak 1,000 kit CareOKU meliputi susu formula, lampin pakai buang dan beg air kencing kepada golongan OKU yang memerlukan.

“Selain daripada misi bantuan ke luar negara, kita juga menyalurkan bantuan di dalam negara dan ini merupakan salah satu contoh yang diserahkan kepada Skuad OKU Malaysia untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Bantuan yang disalurkan ini merupakan hasil daripada sumbangan dana awam, agensi-agensi, syarikat berkaitan kerajaan serta bank-bank yang sentiasa menyokong usaha ini,” ujarnya.

Jelas Zulkifli, kit CareOKU berkenaan akan diagihkan ke seluruh negara dalam masa terdekat menerusi satu siri jelajah dengan diselaraskan oleh Skuad Upaya Malaysia.

Sementara itu, menurut Mohd. Kufri @ Othman, skuad yang ditubuhkan sejak tahun 2020 itu akan mengagihkan kit berkenaan kepada penerima berdasarkan maklumat yang diberikan oleh wakil skuad di setiap negeri.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI