fbpx

Umat Islam perlu patuh fatwa larangan merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohideen pada sidang akhbar di Pejabat CAP, George Town, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Umat Islam di negara ini disarankan mematuhi fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama lebih 20 tahun lalu yang melarang individu Muslim menghisap rokok.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, fatwa melarang umat Islam merokok dikeluarkan pada 23 Mac 1995 apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia membincangkan isu berkaitan merokok dari sudut pandangan Islam dan memutuskan larangan kerana membahayakan.

Menurutnya, ini kemudian diikuti pada 2015 apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan rokok elektronik (e-rokok) sebagai haram.

”Walaupun terdapat fatwa larangan merokok, ramai umat Islam masih mengambil ringan mengenainya.

“Larangan ini selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umat Islam untuk tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, CAP juga menggesa pihak berkuasa agama untuk membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan umat Islam mengenai merokok dan bahaya yang dibawanya.

”Pihak berkuasa agama perlu nengingatkan umat Islam mengenai fatwa yang melarang merokok dan para pendakwah perlu memberikan keutamaan kepada isu ini.

”Isu ini juga perlu diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa, terutama sekali dalam kalangan negara Islam,” katanya.

Tambahnya, perbincangan mengenai perkara itu perlu dibawa kepada perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

”OIC terdiri daripada hampir 60 negara Islam, di mana satu konsensus mengenai larangan merokok perlu dibuat demi untuk kebaikan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohideen berkata, pihak kerajaan juga perlu meneruskan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap larangan merokok di tempat awam,

“Denda terhadap perokok juga perlu diteruskan selaras dengan falsafah denda bagi pelbagai tindakan yang membahayakan orang ramai dan kesihatan kita seperti melanggar had kelajuan dan tidak memakai topi keledar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI