fbpx

OPR naik, kuasa membeli rakyat turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KENAIKAN harga barang yang mendorong peningkatan kos sara hidup sekali gus memberi tekanan kepada pengurusan kewangan individu terutama bagi mereka bekerja di Lembah Klang.

Ia disebabkan perbelanjaan seharian yang dahulu boleh dihadkan kepada jumlah tertentu kini menjadi semakin tinggi dan tidak terkawal.

Perkara ini juga bukan sahaja melibatkan golongan bujang yang merantau ke Kuala Lumpur untuk bekerja, malah memberi kesan lebih besar kepada mereka yang berkeluarga.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus.

Untuk rekod, ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut pada tahun ini yang mana pada bulan Julai, kadar penanda aras pinjaman dan simpanan itu dinaikkan kepada 2.25 peratus, 2.00 peratus pada Mei dan 1.17 pada Mac.

Justeru, episod kenaikan harga barang dijangka akan berlaku sekali lagi dalam masa terdekat selain memberi kesan khusus buat mereka yang membuat pinjaman atau pembiayaan baharu semasa kadar rendah sebelum ini.

Seorang pekerja swasta dikenali Ihsan Zainal meluahkan kebimbangan kerana takut kadar sewa rumahnya dinaikkan oleh tuan rumah selepas ini.

“Bulan lepas sewa RM1,600 lebih, bulan ini terus jadi RM1,822. Apabila OPR naik lagi, saya bimbang kadar sewa boleh mencecah RM2,000 selepas ini.

“Itu sebab kalau aliran tunai di paras ‘minimum’ dan tak pernah dikenakan kenaikan kadar sewa lebih tiga tahun, kemungkinan ­aliran tunai boleh menjadi negatif,” ujarnya.

Dalam pada itu, perunding kewangan, Dr. Adam Zubir berkata, implikasi kenaikan OPR hanya melibatkan mereka yang mempunyai pembiayaan dengan kadar yang berubah-ubah.

“Jika pinjaman individu tersebut adalah tetap, maka dia tidak perlu risau. Namun, kebanyakan daripada kita yang mempu­nyai pinjaman rumah, pinjaman Amanah Saham Bumiputera dan kad kredit sememangnya akan terkesan.

“Ia akan menyebabkan komitmen bulanan dinaikkan dan kelayakan pinjaman bank juga akan diperketatkan disebabkan lebihan pendapatan semakin berkurang,” katanya.

Selain itu, Adam menjelaskan bahawa kuasa membeli yang dimiliki oleh seseorang individu itu juga menjadi semakin mengecil.

“Sebagai contoh, jika anda mempunyai gaji sebanyak RM3,000 dan hutang pinjaman pula RM1,500. Kuasa membeli adalah separuh daripada pendapatan.

“Namun, apabila OPR naik, mungkin hutang pinjaman menjadi RM1,600, maka kuasa membeli menurun kepada hanya RM1,400,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengawal perbelanjaan dan mengurus kewangan bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini yang disifatkan sementara sebelum keadaan ekonomi kembali stabil.

Berbelanja apa yang perlu sahaja sementara menanti keadaan ekonomi kembali stabil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI