fbpx

Faktor global, domestik sokong pemulihan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rasheed (dua dari kanan) pada majlis membentangkan laporan perdana BNM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pasaran kewangan menjangkakan ringgit akan meneruskan trend peningkatan tahun ini, ketika kesan daripada faktor global, terutamanya kenaikan kadar dasar yang agresif di negara lain berbanding Malaysia semakin mereda.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, beberapa penganalisis telah mengunjurkan lebih jauh kepada tahun 2025 dan membuat penilaian bahawa ringgit bakal terus mengukuh. 

Jelasnya, hal ini disokong oleh beberapa faktor, seperti unjuran pengurangan dalam kadar dasar Amerika Syarikat pada tahun ini yang dijangka mengurangkan tekanan terhadap ringgit dan mata wang lain.

“Selain itu, pemulihan dalam pertumbuhan negara serantau juga dijangka meningkatkan aliran masuk ke rantau ini, memberi manfaat kepada Malaysia dan ringgit, manakala di peringkat domestik, prospek ekonomi menggalakkan dan pelaksanaan reformasi struktur dijangka memberi sokongan kepada ringgit.

“Namun begitu, kami tetap berwaspada terhadap faktor yang boleh meningkatkan risiko penurunan dalam ringgit, seperti momentum pertumbuhan perlahan China dan penyederhanaan dalam harga komoditi global,” katanya sewaktu membentangkan laporan perdana BNM semalam.

Sejak permulaan tahun 2024, ringgit telah menurun daripada RM4.60 berbanding AS$ kepada RM4.79/AS$ pada 20 Februari, sebelum kembali pulih kepada RM4.70/AS$ setakat 15 Mac lalu.

Abdul Rasheed menambah, dalam jangka pendek, prestasi ringgit dijejaskan terutamanya oleh faktor kitaran termasuk perbezaan kadar faedah, turun naik dalam keadaan ekonomi global dan perubahan sentimen pelabur.

“Bagaimanapun, dalam jangka panjang, kadar pertukaran ringgit lebih bertunjangkan kepada asas domestik. Dalam hal ini, asas ekonomi Malaysia asas adalah kukuh, seperti yang terbukti daripada petunjuk utama pada 2023 dan unjuran untuk 2024. 

“Selain itu, pembaharuan struktur yang boleh membantu meningkatkan prospek ekonomi Malaysia juga akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan kepada ringgit.

“BNM telah dan akan terus mengambil langkah bersepadu untuk menguruskan tekanan jangka pendek terhadap ringgit, termasuk meningkatkan perbincangan dengan syarikat korporat dan pelabur, memantau tingkah laku tukaran asing pengeksport dan pengimport domestik serta berhubung dengan mereka pada sebarang trend luar biasa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI