fbpx

Beberapa syor akan diteliti untuk tangani cabaran inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNUAR Musa.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melihat kepada beberapa syor yang telah dibentangkan menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hari ini dalam usaha untuk menghadapi cabaran inflasi yang turut memberi kesan kepada rakan dagangan di seluruh dunia.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ada beberapa syor jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah dibincangkan, namun belum ada sebarang keputusan khusus diambil kerajaan kerana ada beberapa perkara yang perlu diteliti.

“Antara syor yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini adalah keperluan untuk mengadakan satu pusat sehenti bagi kaedah rantaian bekalan makanan serta pengedarannya agar lebih efisyen, bersepadu selain mengurangkan kemungkinan kenaikan harga yang tidak diperlukan.

“Syor lain juga termasuklah melihat kepada sumber-sumber negara alternatif bagi barangan yang kita import agar dapat mengurangkan kos,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai mesyuarat jawatankuasa tersebut, di sini hari ini.

Menurut Annuar, sebagai contoh, jika Malaysia mengimport ayam dari negara tertentu, kerajaan perlu melihat kepada negara lain juga sebagai sumber import alternatif yang dapat mengurangkan kos.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan sebarang perincian tentang syor yang telah dikemukakan ini, memadai menyatakan bahawa setiap syor akan disusuli oleh urusetia untuk diambil tindakan lanjut yang bersesuaian,” ujar beliau.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, mesyuarat juga membincangkan tentang polemik dibangkitkan susulan kejatuhan nilai ringgit, malah Bank Negara (BNM) turut memberikan nasihat serta garis panduan dalam sesi tersebut.

“Keresahan tentang kejatuhan nilai ringgit ini sebenarnya terhad kepada nilai ringgit berbanding nilai mata wang tertentu khususnya dolar Amerika Syarikat (AS$) dan dolar Singapura (SGD), namun jika dilihat secara menyeluruh nilai ringgit turut mengukuh dengan mata wang tertentu.

“Nilai ringgit telah mengukuh berbanding yen Jepun sebanyak 15.5 peratus, ringgit mengukuh berbanding pound sterling (8.2 peratus) dan won Korea (7.3 peratus), cuma jika dibandingkan dengan AS$ dan SGD, ringgit melemah masing-masing 2.7 peratus dan 3.9 peratus,” ujar beliau.

Katanya, berhubung perbandingan dengan dolar AS, ia merupakan perkara yang diteliti sepanjang masa oleh BNM dan beberapa pelarasan perlu dibuat termasuk mengawal selia kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

“Kita perlu terangkan bahawa dua tahun lalu kadar OPR negara kira-kira 3.2 hingga ke 3.25 mata dan kerana kelembapan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah diturunkan kepada tahap paling rendah dalam sejarah iaitu kepada 1.75 mata.

“Di negara tertentu, kerana tekanan ekonomi selepas PKP mereka naikkan kadar OPR dengan tinggi kira-kira 0.5 hingga 0.75, tetapi di Malaysia proses pemulihan OPS pada tahap lebih stabil dibuat secara berperingkat dari 1.75 kepada sekarang 2.5 mata,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, BNM mempunyai rekod cemerlang, malah melihat kepada keseluruhan senario bagi memastikan negara mempunyai dasar kewangan yang baik, jadi tidak perlu untuk berasa sangsi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI