fbpx

KKM syor majikan tambah satu cuti khas bagi saringan kesihatan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy ketika meninjau pameran sempena Program Merdeka@Parlimen Rembau di Balairaya Kampung Seri Kendong, di sini, tadi. - FOTO/ NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan kepada majikan untuk menambah satu hari cuti buat pekerja mereka khas bagi menjalani saringan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tambahan cuti berkenaan bagi memastikan pekerja dapat menjalani saringan kesihatan yang kebiasaannya dilaksanakan setahun sekali sahaja.

Menurutnya, ada kalanya pekerja terpaksa mengambil cuti lebih dari jumlah yang dibenarkan bagi tujuan menjalani saringan kesihatan.

“Majikan bagi cuti satu hari setahun kepada pekerja mereka supaya buat saringan kesihatan… kalau tidak mereka mungkin tak ada masa… waktu bekerja tak boleh pergi. Hari minggu sibuk dengan anak-anak dan keluarga dan akhirnya mereka tak dapat buat saringan kesihatan.

“Baru-baru ini, saya dah minta Kementerian Kewangan (MOF) melihat kepada apa peraturan yang boleh kita buat supaya majikan di Malaysia ini dapat mengambil cuti saringan kesihatan, satu hari setiap tahun kepada pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merdeka@Parlimen Rembau anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan di Balairaya Kampung Seri Kendong, di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tambahan cuti sehari buat pekerja itu akan diperbincangkan dalam Belanjawan 2023 memandangkan langkah tersebut akan memberi kesan kepada majikan.

Untuk rekod, Julai lalu Khairy dilaporkan berkata kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan masih lagi rendah.

Menurut beliau, 53 peratus rakyat Malaysia tidak saring kesihatan sejak setahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI