fbpx

B40 antara fokus utama Bajet 2023 – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (dua dari kiri) ketika merasmikan karnival tersebut hari ini.

KUALA SELANGOR – Keperluan dan bantuan berterusan kepada golongan B40 antara fokus utama pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan menumpukan empat fokus utama yang melibatkan kepentingan rakyat, perniagaan, ekonomi dan penyampaian perkhidmatan.

Kata beliau, penumpuan bajet itu semestinya kepada kelompok B40 yang dijangka turut berdepan cabaran getir ekonomi tahun depan.

“Keperluan golongan itu akan diteruskan terutama dalam menghadapi isu kos sara hidup tinggi akibat kadar inflasi, gangguan bekalan atau rantai makanan dan geopolitik.

“Jadi, kita akan terus memberi fokus menyalurkan bantuan kepada B40 bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Gegar Kerjaya di Stadium Utama Kuala Selangor di sini, hari ini.

Pada program selama dua hari itu, sebanyak 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan 30 syarikat terutama kepada golongan belia dan graduan tempatan.

Jelas Tengku Zafrul, Malaysia perlu lebih bersedia mendepani 2023 yang merupakan tahun penting untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik.

“Umum mengetahui kadar inflasi kita juga masih rendah berbanding negara lain biarpun ada sedikit peningkatan.

“Unjuran kita pada tahun depan turut bergantung kepada keadaan ekonomi global kelak,” ujarnya.

Tambah beliau, kadar pengangguran negara juga menurun kepada 3.7 peratus setakat ini berbanding 5.3 peratus ketika pandemik Covid-19 pada Mei 2020.

“Ia menunjukkan perkembangan baik selaras dengan keadaan ekonomi yang semakin positif.

“Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKA) suku kedua tahun ini mencatatkan 8.3 peratus dan pertumbuhannya diyakini turut kukuh pada suku ketiga nanti,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI