fbpx

Ibu hamil mengidam telur penyu, peniaga takut kena denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hayati (kiri) sedang melayan pelanggan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Biarpun penjualan telur penyu telah diharamkan di Terengganu sejak tiga bulan lalu, namun sehingga kini masih ramai yang mencari­ bahan makanan itu termasuk dalam kalangan pelancong.

Permintaan terhadap maka­nan eksotik terbabit terutama di kawasan tumpuan penjualannya sebelum ini iaitu Pasar Besar Kedai Payang di sini semakin tinggi berikutan musim cuti perse­kolahan.

Begitu pun setakat ini, tiada seorang peniaga berani menjualnya walaupun secara sembunyi kerana bimbang dikenakan tindakan penguatkuasaan denda sehingga RM250,000.

Salah seorang peniaga, Hayati Mad Zain, 54, mengakui, dia dan 10 peniaga masih dicari peminat makanan eksotik berkenaan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah pelancong termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Paling membuatkan saya rasa sayu apabila segelintir ibu hamil merayu untuk membeli telur penyu kerana mengidam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pasar Besar Kedai Payang di sini semalam.

Hayati berkata, rayuan tersebut bagaimanapun tidak dapat ditunaikan kerana peniaga terikat dengan undang-undang larangan penjualan telur penyu yang dikuatkuasakan di Terengganu sejak awal bulan Jun lalu.

Tambah beliau, anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan sering mengadakan rondaan penguatkuasaan.

“Sebenarnya ramai juga yang masih mahu membeli telur penyu dengan alasan untuk dijadikan penawar penyakit lutut dan saraf.

“Begitu pun kami tidak lagi mengambil bekalan (telur penyu) dan akur arahan kerajaan negeri demi pemuliharaan penyu yang kini semakin pupus,” jelasnya.

Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) Terengganu yang menetapkan pengharaman penjualan semua jenis telur penyu di negeri ini telah diluluskan sebulat suara pada Persidangan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Terengganu pada November 2021.

Pindaan tersebut antara lain mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI