fbpx

China lanjutkan ‘lockdown’ di Chengdu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan suasanan lengang di bandar Chengdu. - AFP

BEIJING –  Bandar mega China, Chengdu melanjutkan perintah berkurung Covid-19 di kebanyakan kawasan dengan  mengekalkan sekatan yang menyebabkan perniagaan terhenti dan mengurung kebanyakan daripada  21 juta penduduknya ke kediaman masing-masing.

China merupakan ekonomi utama terakhir yang mengamalkan strategi sifar-Covid. Strategi itu menyaksikan Beijing cuba mengawal penularan koronavirus melalui  langkah penutupan segera, ujian saringan besar-besaran dan tempoh  kuarantin yang panjang.

Chengdu yang merupakan ibu negeri wilayah Sichuan,  barat China telah melaksanakan perintah berkurung Covid-19 selama seminggu selepas bandar raya itu melaporkan beratus-ratus kes Covid-19.

Perintah berkurung itu dijangkan dimansuhkan kelmarin tetapi pemerintah tempatan menyatakan bahawa ‘seluruh Chengdu akan meneruskan perjuangan ke arah sifar penularan dalam komuniti.’

Pihak berkuasa akan ‘berusaha keras selama seminggu untuk merealisasikan matlamat penularan sifar komuniti di seluruh bandar’, tambahnya.

“Langkah anti wabak mula menampakkan hasil di  seluruh bandar ini tetapi risiko penularan komuniti masih wujud di beberapa kawasan,” kata pentadbiran Chengdu dalam notis awamnya.

Semua penduduk yang dikenakan perintah berkurung akan menjalani ujian saringan  setiap hari, dan setiap isi rumah  dibenarkan menghantar seorang setiap hari untuk membeli barangan runcit dan bekalan lain.

Chengdu mencatatkan 116 jangkitan tempatan baharu semalam dengan lebih separuh daripada mereka tidak menunjukkan gejala, demikian menurut angka suruhanjaya kesihatan wilayah.

Premis perniagaan di Chengdu turut ditutup buat sementara waktu, dengan pembuat kereta Sweden, Volvo menggantung pengeluaran di sebuah kilang di bandar itu yang menggaji hampir 3,000 orang pada minggu lalu.

Sementara itu, di bandar Shenzhen yang merupakan hab teknologi dan perniagaan China, pihak berkuasa tempatan melonggarkan beberapa sekatan pada  minggu ini selepas lonjakan virus mendorong pihak berkuasa mengarahkan 18 juta penduduk bandar itu supaya tidak meninggalkan rumah mereka.

China melaporkan 1,334 jangkitan domestik baharu semalam dengan majoritinya tidak menunjukkan gejala, demikian  menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI