fbpx

Skandal 1MDB: PDRM sudah fail 13 pertuduhan terhadap Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memfailkan 13 pertuduhan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung skandal penyelewengan dana Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun tanpa kehadirannya di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak PDRM telah berusaha mengesan Jho Low dan telah memohon serta memperoleh notis merah (pelarian dikehendaki untuk pendakwaan) daripada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya pada 2018.

“Setakat ini permohonan ekstradisi ke atasnya tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan Jho Low di negara mereka.

“Kita juga telah memfailkan sebanyak 13 pertuduhan walaupun tanpa kehadirannya,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, siasatan terhadap Jho Low turut dijalankan pihak berkuasa asing termasuk Singapura serta Amerika Syarikat (AS) dan kedua-dua negara tersebut telah memfailkan pertuduhan terhadapnya.

Mengulas lanjut, jelas beliau, notis merah yang dikeluarkan terhadap Interpol mewajibkan 195 negara ahli untuk memaklumkan sekiranya mengesan individu dalam buruan tersebut.

“Sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, negara berkenaan bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat bagi proses permohonon ekstradisi,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini usaha menjejaki Low Taek Jho masih giat dijalankan dan segala maklumat diterima mengenai keberadaannya di negara asing telah diteliti kesahihannya menggunakan saluran kerjasama antarabangsa.

Pada masa sama, Acryl Sani memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada PDRM untuk membantu mengesan keberadaan Jho Low.

Maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian CCID Infoline di talian 0132111222 (WhatsApp sahaja) atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI