fbpx

Penyeludup sorok beg berisi 69 peluru, dadah dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan peluru dan dadah yang ditemui di dalam semak di kawasan berhampiran pangkalan haram Pak Ngah, Kampung Kuala Jambu dekat Tumpat semalam. /FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Cubaan sindiket penyeludup menyembunyikan sebanyak 69 butir peluru hidup dan pelbagai jenis dadah di dalam semak gagal apabila berjaya dihidu anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menemui sebuah beg berhampiran pangkalan haram Pak Ngah, Kampung Kuala Jambu, Tumpat dekat sini semalam.

Beg itu dijumpai kira-kira pukul 12 tengah hari semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin penugasan Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, anggota PGA menjalankan intipan dan pemerhatian lebih dua jam selepas menemui beg itu, namun tiada individu yang datang ke kawasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam beg itu mendapati ia berisi 10 butir peluru jenis .38 SPL USA, peluru jenis 9 milimeter (10 butir), peluru jenis 357 MAG USA (30 butir) peluru jenis Buck Shot 12 Gauge (16 butir) dan peluru jenis .22 (3 butir).

“Beg tersebut turut mengandungi 240 biji pil kuda, 20 gram serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu dan satu tiub berisi biji disyaki benih ganja.

“Nilai kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM5,239 dan polis tidak menolak kemungkinan barangan tersebut diseludup dari Thailand sebelum ia akan dijual di pasaran negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, menurut Muhamad Zaki, Batalion 9 PGA berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas perisa cecair vape dan pelbagai jenis kartrij vape bernilai RM2.04 juta.

Katanya, serbuan dijalankan di sebuah rumah di Taman Danhwa Kampung Kebakat, Tumpat kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 4 September lalu.

“Suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pemilikan cecair vape itu. Kesemua barangan dirampas dan dirujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI