fbpx

Pemimpin wanita kuasai Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Truss (kiri) dan Marin (kanan) dilantik untuk memimpin Britain dan Finland. - AFP

LONDON – Pemilihan Liz Truss sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu menjadikan beliau memasuki senarai lebih 12 pemimpin wanita di Eropah yang berkuasa di benua tersebut.

Selain menjadi Perdana Menteri Britain ke-15, Truss, 47, yang menumpaskan pesaingnya, Rishi Sunak dalam pemilihan dalaman parti Konservatif merupakan Perdana Menteri wanita Britain ketiga.

Dua pemimpin sebelum beliau ialah Margaret Thatcher, yang mentadbir Britain dari 1979 hingga 1990 serta Theresa May dari 2016 hingga 2019.

Truss mengambil alih tugas Boris Johnson bermula semalam, selepas Johnson meletak jawatan pada Julai lalu akibat didesak ekoran pelbagai kontroversi yang melanda pemimpin itu.

Selain Britain yang bukan merupakan ahli Kesatuan Eropah, namun masih sebahagian daripada rantau tersebut, Denmark juga diketuai oleh Perdana Menteri wanita, Mette Frederiksen sejak Jun 2019 sehingga kini.

Selain Frederiksen, 41, Denmark juga pernah diketuai oleh seorang lagi Perdana Menteri wanita iaitu Helle Thorning-Schmidt yang berkhidmat dari tahun 2011 hingga 2015.

Meskipun menjadi negara yang sering berada di hadapan dalam isu-isu kesaksamaan jantina, Sweden tidak pernah mempunyai Perdana Menteri wanita sehingga Magdalena Andersson dipilih memegang jawatan tersebut pada November 2021.

Andersson, yang merupakan ahli politik dari parti Sosial Demokrat, merupakan seorang ahli ekonomi yang sebelum itu dilantik sebagai Menteri Kewangan Sweden selama tujuh tahun.

Pelantikan Andersson sebagai Perdana Menteri pernah menjadi kontroversi apabila beliau meletakkan jawatan hanya beberapa jam selepas mula bertugas berikutan pembentangan bajet ditolak oleh Parlimen.

Beliau bagaimanapun dilantik semula empat hari selepas itu.

Seorang lagi pemimpin wanita yang sering mencetuskan kontroversi ialah Perdana Menteri Finland, Sanna Marin, yang dilantik pada umur 34 tahun.

Perdana Menteri wanita ketiga negara Nordic itu menjadi tajuk-tajuk utama media seluruh dunia yang memaparkan berita mengenai kehidupan peribadinya yang sering berpesta dengan rakan-rakannya.

Dalam pada itu, Greece turut ditadbir oleh pemimpin wanita, Katerina Sakellaropoulou, yang dipilih sebagai Presiden wanita pertama negara itu pada Januari 2020.

Selain itu, beberapa lagi pemimpin wanita yang masih memegang jawatan tertinggi di negara-negara Eropah termasuk Perdana Menteri Lithuania, Ingrida Simonyte, Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne, Presiden Hungary, Katalin Novak, Presiden Slovakia, Zuzana Caputova, Presiden Georgia, Salome Zurabishvili dan Perdana Menteri Iceland Katrin Jakobsdottir. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI