fbpx
BEBERAPA anggota Menraq melakukan tugasan menjejak harimau dengan memasang trap camera di Taman Negeri Royal Belum, Grik. – SHIDDIEQIIN ZON

Bakti Menraq, pasukan peronda Orang Asli Jahai penjejak harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI rutin buat Ardi Kembong, 32, bersama empat rakannya yang lain untuk melakukan rondaan di sekitar Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak bagi melindungi hidupan-hidupan liar di situ terutama harimau.

Ardi yang merupakan Orang Asli suku kaum Jahai cukup bersemangat setiap kali melaksanakan tugas rondaan.

“Sebelum masuk melakukan rondaan, kami terlebih dahulu membuat pelan laluan yang akan dilalui bagi memudahkan rondaan.

“Selalunya, setiap kali rondaan, kami masuk dan bermalam di dalam hutan selama empat hari tiga malam sebelum keluar kembali ke kem,” katanya ketika ditemui K2 di hutan itu baru-baru ini.

Begitulah sebahagian daripada kehidupan Ardi dan rakan-rakannya sebagai ahli pasukan peronda Menraq. Di dalam dialek Jahai, Menraq bermaksud ‘orang’.

GAMBAR menunjukkan kelibat seekor Harimau Malaya yang berjaya dirakam kamera perangkap yang dipasang oleh anggota Menraq.

Menraq diwujudkan oleh Persatuan Perlindungan Harimau Malaysia (Rimau) bertujuan memantau kewujudan haiwan liar dan mengesan sekiranya berlaku aktiviti perburuan haram di dalam hutan itu sekali gus melindungi haiwan-haiwan tersebut.

Jelas Ardi, sepanjang rondaan, mereka juga akan memasang kamera perangkap (trap camera) bagi merakam kewujudan hidupan liar di situ terutama Harimau Malaya serta mengesan jika ada jerat-jerat yang dipasang pemburu haram.

Ardi berkata, dia gembira menjadi sebahagian daripada anggota Menraq kerana selain dapat membantu pihak bertanggungjawab melindungi hidupan liar dia juga memperoleh pendapatan tetap.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, rutinnya sebelum ini adalah mencari ikan atau madu kelulut dan lain-lain kerja bagi mencari pendapatan menyara keluarganya.

“Kini, kerja hakiki saya adalah menjadi salah seorang pasukan peronda Menraq,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelatih pasukan peronda Menraq, Gerry Timothy berkata, 10 orang Menraq akan masuk ke hutan untuk melakukan rondaan dalam satu-satu masa.

PASUKAN peronda Menraq terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Jahai yang turut dibayar pendapatan tetap.

Menurutnya, mereka akan dibahagi kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan membuat rondaan di blok kawasan yang telah diberikan.

“Dalam latihan, kami dedahkan apa yang mereka harus laksanakan ketika melakukan rondaan seperti memasang kamera di kawasan yang menjadi laluan hidupan liar terutamanya untuk menjejak Harimau Malaya.

“Selain itu, mereka juga akan mengambil gambar dan menanda kedudukan jika terjumpa bekas jejak tapak kaki harimau dan sebagainya,” jelasnya.

Tambah Timothy, mereka turut akan berpenanan mengesan kewujudan jerat-jerat aktif lantas memaklumkan kepada penyelia di kem untuk tindakan selanjutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pasukan Menraq ini akan menjadi perisik yang memantau jika terdapat pemburu-pemburu haram di kawasan itu dan kemudian menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak bertanggungjawab,” ujarnya.

Kongsi Timothy, ada antara ahli pasukan Menraq tidak boleh membaca serta menulis dan itulah antara cabaran yang perlu dihadapinya ketika memberi latihan kepada mereka.

“Kami mengambil masa hampir empat hingga lima bulan untuk melatih mereka.

“Namun begitu, mereka ini mempunyai kesungguhan untuk belajar dan akhirnya mereka boleh menguasai apa yang perlu dibuat ketika rondaan,” terangnya.

Sementara itu, Ketua Projek Rimau, Harun Rahman berkata, idea menubuhkan pasukan Menraq itu adalah hasil perbincangan bersama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) di mana mereka merasakan perlunya menambah pasukan peronda di dalam hutan.

Menurutnya, atas inisiatif tersebut, mereka memberi peluang kepada Orang Asli di situ untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut.

“Kami rasa perlu memberi kerja kepada Orang Asli agar mereka juga memperoleh sumber pendapatan yang konsisten.

“Maka, dari situlah tertubuhnya pasukan Menraq yang terdiri daripada 30 anggota yang berperanan untuk memantau hidupan liar di dalam hutan,” jelasnya.

Tambah Harun, gaji mereka dibayar oleh Yayasan Sime Darby, Yayasan Hasanah dan juga tajaan secara Billplz.

PARA anggota dilatih dalam mengisi
data-data yang diperoleh.

Harun menjelaskan, dia mahu mengubah persepsi orang luar bahawa Orang Asli juga boleh melaksanakan tugas jika diberi ruang yang sewajarnya.

“Walaupun mereka ini ada yang tidak boleh membaca dan menulis tetapi melalui latihan secara berterusan yang diberikan mereka boleh melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.

“Dalam memberi latihan kepada mereka, kami melaksanakannya secara praktikal atau ‘on job training’ di mana kita akan betulkan apa yang salah sepanjang latihan,” terangnya.

Jelas Harun lagi, Rimau bekerjasama rapat dengan suku kaum Jahai dalam memberikan latihan kepada belia-belia yang telah dikenal pasti dengan memberi mereka pengetahuan serta kemahiran diperlukan untuk menyertai pasukan peronda Menraq.

Individu-individu ini menerima latihan berkenaan protokol rondaan yang amat penting bagi keselamatan dan perlindungan mereka, di samping memastikan pengumpulan data yang lengkap melalui penggunaan Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART).

Harun menambah, untuk perancangan masa hadapan, pihaknya akan membantu pihak PSPC untuk menambah lagi bilangan pasukan peronda melibatkan Orang Asli di situ.

Menurut Harun, agak sukar Orang Asli di situ untuk mendapat pekerjaan dengan jabatan kerajaan kerana rata-rata mereka tiada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang kami boleh bantu adalah dengan mencari dana daripada pihak-pihak yang sanggup untuk membayar gaji kepada mereka ini.

“Melalui usaha ini, ia akan membolehkan hidupan liar di kawasan ini lebih dilindungi apabila ada pasukan peronda yang sering melakukan pemantauan,” bicaranya.

Dalam pada itu, Pengarah PSPC, Shah Redza Hussein berkata, dengan adanya pasukan Menraq ini, ia telah membantu pasukan renjer PSPC untuk melakukan pemantauan di dalam hutan.

Menurutnya, kawasan hutan di sini amat besar dan mereka sendiri tidak cukup kakitangan untuk melakukan pemantauan.

“Namun, dengan adanya pasukan Menraq ini, ia telah membantu kita memantau pemburu-pemburu haram dan memusnahkan jerat-jerat aktif yang baharu.

“Mereka akan memaklumkan kepada renjer kita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dedah Shah Redza, Harimau Malaya di kawasan hutan Belum-Temenggor di situ sering menjadi sasaran pemburu-pemburu haram dari Indochina terutama dari Vietnam.

Menurutnya, di kawasan itu tiada masalah pembukaan tanah atau ladang yang memberi ancaman kepada Harimau Malaya.

“Sebaliknya ancaman terbesar terhadap haiwan ini adalah datangnya daripada pemburu haram.

“Oleh itu, ancaman sebegini harus ditangani bagi memastikan populasi Harimau Malaya tidak terancam,” ulasnya.

Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan di kawasan Belum- Temenggor terdapat 23 ekor Harimau Malaya yang dikesan.

Namun, dalam tempoh 24 bulan terakhir mereka dapat mengesan pertambahan 10 ekor anak Harimau Malaya di kawasan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN