fbpx

Mayat tanpa identiti ditemui di Pulau Rumbia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat tanpa identiti tersebut ditemui di Pulau Rumbia, dekat Lumut pagi semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak menemui satu mayat tanpa identiti di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Rumbia, dekat sini pada pukul 7.55 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bot Maritim Perkasa 1223 telah diatur gerak ke lokasi bagi mengesahkan aduan yang diterima mengenai penemuan satu mayat oleh nelayan tempatan di perairan tersebut.

“Hasil pemeriksaan dan rondaan di lokasi, satu mayat disyaki lelaki berseluar pendek serta berbaju singlet kuning namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Mayat tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hambali berkata, sehingga kini, APMM Perak belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan memohon agar mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

“APMM mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti di perairan negara,” katanya.

Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI