fbpx
HAUNTED Drive Thru Malaysia beroperasi di Alor Gajah, Melaka.

Rumah hantu pandu lalu, menjerit disergah hantu ketika pandu kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM memandu masuk ke dalam kawasan ‘berhantu’ itu, Razif Jamil dan tiga orang rakannya sempat menadah tangan dan membaca sepotong doa.

Biarpun teruja, keempat-empat sahabat itu akui agak gementar memandangkan ini merupakan kali pertama mereka mahu merasai sendiri pengalaman memasuki sebuah rumah hantu jenis pandu lalu atau drive-thru bernama Haunted Drive Thru Malaysia yang kini tular di media sosial.

Sebaik sahaja keretanya mulai mendekati pintu masuk utama, keempat-empat tingkap kenderaan Razif perlahan-lahan diturunkan sebagai mematuhi syarat sebelum memasuki rumah hantu tersebut.

Sejurus mendapat penerangan daripada salah seorang petugas Haunted Drive Thru Malaysia, Razif memandu perlahan ke dalam kawasan itu sebelum dia tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan hantu menyerupai seorang nenek kebayan. Kemunculan nenek kebayan itu menyebabkan keempat-empat mereka menjerit ketakutan.

Sepanjang sesi yang berlangsung sekitar tiga hingga empat minit itu, mereka didatangi pelbagai jenis hantu.

“Agak menyeramkan kerana kesemua hantu membuatkan kami terkejut dan menjerit sepanjang berada di dalam kawasan itu.

“Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak Haunted Drive Thru Malaysia kerana saya tanpa sengaja telah mengetuk kepala salah satu hantu di situ dek terlalu terkejut,” luah Razif kepada K2.

SLOT yang ditawarkan kepada pengunjung adalah pada waktu malam hujung minggu iaitu dari pukul 8 malam hingga 2 pagi.

Di Haunted Drive Thru Malaysia, pengunjung perlu berada di dalam kereta dan kereta dipandu secara perlahan-lahan sebelum didatangi atau disergah hantu-hantu.

Ada juga dalam kalangan lembaga menyeramkan itu yang akan seolah-olah cuba memasukkan kepala dekat tingkap kereta.

Seorang pengunjung yang hanya dikenali sebagai Sasha Rose mengakui berpuas hati dengan pengalamannya di Haunted Drive Thru Malaysia.

“Seronok juga sesekali mencuba sesuatu yang baharu memandangkan ini merupakan rumah hantu seumpamanya di Malaysia,” tulisnya dalam perkongsiannya di TikTok.

Haunted Drive Thru Malaysia yang terletak di Alor Gajah, Melaka merupakan tarikan terbaharu di negara ini yang kini tular di media sosial.

Ia diusahakan oleh dua anak muda iaitu Muhammad Haidar Ruslan, 28, bersama sepupunya, Muhammad Nur Farhan Mahfuz, 22, di atas tanah milik keluarga di Alor Gajah.

Menurut Muhammad Haidar, keluarga mereka mempunyai tanah seluas kira-kira dua ekar (0.8 hektar) yang mana suku daripadanya digunakan sebagai tapak Haunted Drive Thru Malaysia.

Jelas Muhammad Haidar lagi, idea mewujudkan rumah hantu berkonsep pandu lalu ini timbul selepas melihat tarikan sedemikian yang sememangnya sudah popular di negara-negara luar seperti Australia dan Indonesia.

“Memandangkan Muhammad Nur Farhan mempunyai tanah di dalam sebuah hutan yang terletak kira-kira 10 minit dari tol Simpang Ampat, maka saya dan Muhammad Nur Farhan pun melancarkan Haunted Drive Thru Malaysia ini pada bulan lalu.

“Biarpun yakin bahawa tempat ini akan menjadi tarikan, kami sama sekali tidak menyangka ia tular dengan begitu pantas dan boleh dikatakan kami ‘full house’ hampir setiap minggu selepas dibuka,” ujar Muhammad Haidar.

Tambahnya, buat masa ini, dia hanya membuka slot pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad bermula pukul 8 malam sehingga 2 pagi.

MUHAMMAD HAIDAR

Namun, memandangkan permintaan agak tinggi dalam kalangan pengunjung, Muhammad Haidar ada merancang untuk mulai membuka lebih banyak slot pada masa akan datang.

Setiap satu slot rumah hantu pandu lalu itu mengambil masa sekitar tiga hingga empat minit, dengan pengunjung diharuskan membuka kesemua tingkap kenderaan mereka sepanjang melewati kawasan hutan tersebut.

“Selepas mendaftar, pengunjung akan diberi penerangan ringkas berkaitan perjalanan mereka.

“Terdapat beberapa check point dengan hantu berbeza, namun ia akan dimulakan dengan kehadiran seorang nenek kebayan menyeramkan, yang akan bertanyakan soalan kepada pengunjung, adakah mereka sedang sesat,” ujar Muhammad Haidar.

Tambahnya lagi, dalam sehari, dia mampu menempatkan sekitar 50 slot.

Sebagai mencipta kelainan pula, setiap bulan, tema hantu akan ditukar.

“Jika pada bulan Ogos, kami guna tema Rumah Malam Berdarah, bagi bulan-bulan berikutnya pula kami akan menukar tema lain seperti zombi dan sebagainya.

“Ini bagi mencipta kepelbagaian dan mengelak tarikan ini tampak bosan,” katanya.

KERETA akan bergerak secara perlahan-perlahan di laluan berhutan semasa mengikuti pengalaman ini.

Sehingga kini, Muhammad Haidar berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengunjung dan rata-ratanya menganggap pengalaman mereka benar-benar menyeramkan.

“Kami faham ada antara pengunjung yang agak penakut, namun masih mahu mencuba sendiri pengalaman melihat ‘hantu’ pandu lalu ini memandangkan ia lain daripada yang lain.

“Sebagai langkah keselamatan, sebelum masuk ke kawasan itu, pihak kami akan bertanya dahulu kepada pemandu sama ada mereka yakin untuk memandu apabila disergah. Kalau tidak yakin, kami akan minta mereka untuk tukar pemandu yang yakin dan boleh fokus memandu walaupun selepas terkejut.

“Kami bersyukur buat masa ini tiada pengunjung yang mengalami masalah ketakutan melampau atau sebagainya sehingga berlaku kemalangan atau perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

Muhammad Nur Farhan pula berkata, mereka turut menerima permintaan daripada pengunjung yang mahu membuat kejutan hari lahir pada penghujung sesi.

“Memandangkan aktiviti ini merupakan aktiviti santai bersama keluarga dan rakan-rakan, kami ada menerima tempahan berupa kejutan hari lahir.

“Kami anggap ia amat menarik dan sekiranya ada pelanggan yang mungkin mahu membuat kejutan berkonsep seram di Haunted Drive Thru Malaysia, maka kami akan cuba mengaturnya,” ujarnya.

Sebarang tempahan slot boleh dibuat menerusi instagram @hdtmalaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN