fbpx

Lima juara dunia bersaing di pantai Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta Malaysia Mohd. Shukri Sulaiman (kanan) dan Sharifah Ruqayyah Syed Hamzah, bersama bekas juara dunia iaitu Daniele Mackenzie (tengah), Mackenzie Hynard (dua dari kanan) dan David Mocke (kanan) yang akan bersaing dalam POPIC 2022 di Rompin bermula esok.

ROMPIN – Perairan pantai Pahang bermula dari Pantai Rompin akan digegarkan lima bekas juara dunia apabila Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 bermula di Pantai Hiburan di sini esok.

Perlumbaan pertama kali dianjurkan di negara ini itu berjaya menarik perhatian jaguh-jaguh kanu dari Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat, Iran, Taiwan, Thailand, Indonesia.

Antara nama-nama besar yang akan menguji ombak di perairan Pahang ialah juara dunia dua kali Rob Jenkinson dan isterinya Julie Jenkinson yang merupakan juara dunia empat kali.

Pasangan suami isteri dari Australia itu pastinya akan menerima cabaran hebat dalam persaingan merebut gelaran juara kerana akan disaingi oleh rakan senegara MacKenzie Hynard, 28, yang merupakan bekas naib juara bawah 23 dunia serta Daniele MacKenzie dari New Zealand yang muncul juara dunia pada 2019.

Hynard, yang digelar ‘Big Wave Macca’ menjangkakan persaingan sukar akan menanti semua pelumba esok apabila melihat nama-nama besar yang akan bertanding.

“Saya sangat teruja untuk bersaing dalam perlumbaan di Malaysia dan saya akan mencuba sedaya-upaya. Saya harap tubuh saya mampu bertahan kepada cabaran di sini,” katanya.

“Kebanyakan perlumbaan yang saya sertai sebelum ini adalah perlumbaan satu hari, tetapi perlumbaan di sini akan berlangsung selama lima hari, jadi terdapat perbezaan yang besar.

POPIC 2022 akan berlangsung selama lima hari dengan lima peringkat yang bermula di Pantai Hiburan Rompin dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan pada 11 September.

Kejohanan yang akan disertai 180 peserta yang memababitkan laluan keseluruhan sejauh 79.36 kilometer itu menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM300,000.

Dalam pada itu Juara dunia wanita 2019 MacKenzie berkata, dia tidak meletakkan sasaran besar untuk perlumbaan kali ini tetapi baginya yang penting ialah meraih pengalaman bersaing dalam suasana baharu.

“Menang memang bagus untuk sesiapa pun, tetapi yang penting ialah menyertai dan meraih pengalaman bersaing di Malaysia.

“Kami di New Zealand sememangnya biasa dengan laut. Kami berlatih tiga hingga empat jam sehari, enam hari seminggu. Sudah tentu saya tidak sabar untuk bersaing apatah lagi setelah tidak dapat berlumba disebabkan pandemic Covid 19,”katanya.

Sementara itu juara dunia 2009, 2010, 2011, 2012 Dawid Mocke dari Afrika Selatan mengingatkan bahawa perlumbaan di Pahang ini memiliki cabaran tersendiri buat semua pelumba.

“Perlu diingat kita bukan sahaja bersaing dengan pelumba lain tetapi juga bersaing dengan elemen alam. Kita berdepan dengan cabaran ombak, angin dan sudah tentu cuaca panas,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI